Covid-19 : Kerajaan dijangka benarkan sukan berpasukan

Penggiat sukan dan rekreasi bakal menerima khabar gembira tidak lama lagi, apabila kerajaan dijangka memberi kebenaran untuk aktiviti sukan secara berpasukan dan dalam fasiliti tertutup.

Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican berkata pengumuman rasmi mengenai aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan atau dilarang akan dibuat dalam masa terdekat.

“Antara yang sedang dipertimbangkan oleh pihak Kerajaan adalah untuk membenarkan pembukaan fasiliti sukan tertutup seperti gimnasium, dewan badminton dan lain-lain.

“Serta kebenaran aktiviti sukan berpasukan dan lain-lain secara beransur seperti bola sepak, hoki untuk tujuan aktiviti latihan dan permainan ‘tanpa kontak fizikal’ tertakluk kepada pengumuman rasmi kelak,” katanya divTwitter hari ini.

Beliau berkata kebenaran bagi semua aktiviti itu diberi dengan “syarat penjarakan sosial 2 hingga 5 meter dan tidak melibatkan perhimpunan ramai” sebagai langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Kerajaan melarang semua aktiviti sukan dan rekreasi sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac

Bagaimanapun, kerajaan memberi kebenaran untuk aktiviti sukan dan senaman di kawasan luar tanpa melibatkan kumpulan besar untuk aktiviti seperti larian, berbasikal, badminton dan tenis pada awal Mei.

Atlet elit bawah program “Road to Tokyo” (RTT) yang telah dan bakal layak ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo juga, diberikan kelonggaran khas untuk mengadakan kem latihan pusat tertutup bermula Isnin lepas.

Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker