MPT Bersatu bermesyuarat malam ini, Dr M tiada dalam senarai jemputan

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dijangka bermesyuarat di Kuala Lumpur malam ini.

Ia akan menjadi acara pertama yang diketahui dihadiri oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin setelah beliau selesai menjalani kuarantin selama 14 hari semalam.

Muhyiddin menjalani kuarantin rumah selepas menghadiri mesyuarat sama dihadiri individu positif Covid-19 bulan lalu.

Bagaimanapun, berdasarkan notis jemputan yang dihantar kepada anggota MPT, mesyuarat yang dijadualkan pada pukul 8.30 malam itu sekali lagi tidak melibatkan pengerusi Dr Mahathir Mohamad dan timbalan presiden Mukhriz Mahathir dalam senarai jemputan.

Notis itu, yang dilihat oleh Malaysiakini, ditandatangani oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Suhaimi Yahya dan menyenaraikan Muhyiddin sebagai pemangku pengerusi.

“Mesyuarat MPT akan diadakan pada hari Khamis 4 Jun 2020 jam 8.30 malam,” kata notis itu, yang juga menyatakan bangunan di Jalan Susur Damansara akan menjadi tempat mesyuarat.

“Agenda pertemuan akan menyusul,” tambah surat itu.

Malaysiakini telah menghubungi Suhaimi untuk mendapatkan ulasan, sementara dua anggota MPT Bersatu, A Kadir Jasin dan Akhramsyah Sanusi telah mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa ada mesyuarat yang akan diadakan malam ini.

Ini akan menjadi kali kedua MPT Bersatu dipanggil untuk mengadakan mesyuarat tanpa Mahathir dan Mukhriz.

Kali pertama adalah bulan lalu, di mana Suhaimi mengirimkan notis untuk mengadakan mesyuarat pada 11 Mei.

Namun, surat itu dibatalkan sehari sebelum ia diadakan setelah ada laporan yang mengatakan bahawa ia adalah plot menyingkirkan Mahathir dan Mukhriz.

Untuk rekod, Suhaimi, yang dilihat berpihak kepada kem Muhyiddin, dipecat oleh Mahathir dari jawatannya sebagai setiausaha kerja parti.

Ini berlaku setelah Suhaimi mengeluarkan surat memaklumkan pengguguran keanggotaan lima ahli parlimen Bersatu termasuk Mahathir dan Mukhriz kerana duduk bersama pembangkang semasa sidang parlimen 18 Mei.

Mahathir menolak surat Suhaimi, dengan mengatakan bahawa setiausaha kerja tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan seperti itu.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker