Mesyuarat MPT Bersatu: Muhyiddin, ahli MPT tiba di PAUM

Muhyiddin dilihat memasuki kelab rumah tersebut dengan menaiki kenderaan Toyota Vellfire berwarna hitam. – Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat memasuki perkarangan Kelab Rumah Pertubuhan Alumni Universiti Malaya (PAUM) pada pukul 8.25pm Khamis malam bagi menghadiri Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) parti berkenaan.

Muhyiddin yang juga Pemangku Pengerusi Bersatu dilihat memasuki kelab rumah tersebut dengan menaiki kenderaan Toyota Vellfire berwarna hitam dan diiringi oleh beberapa kereta pengiring polis.

Di samping itu, pemimpin-pemimpin Bersatu lain juga dilihat memasuki perkarangan PAUM di Jalan Susur Damansara.

Antaranya, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Mohd Redzuan Md Yusof.

Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Abu Bakar Yahya turut dilihat memasuki perkarangan rumah kelab yang dikawal ketat oleh pihak polis.

Dalam pada itu, pengamal media juga tidak dibenarkan masuk ke dalam kelab rumah berkenaan dan hanya dibenarkan untuk membuat liputan dari jauh.

Sebelum ini, jemputan ke mesyuarat MPT tergempar berkenaan dihantar oleh Setiausaha Kerja Bersatu Kapten Muhammad Suhaimi Yahya menerusi aplikasi WhatsApp.

Namun, jemputan mesyuarat itu tidak menyenaraikan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Portal The Malaysian Insight melaporkan mesyuarat MPT Bersatu pada malam ini dijangka memuktamadkan penyingkiran Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya.

Laporan yang memetik sumber tersebut juga mendedahkan mesyuarat itu akan membincangkan kaedah untuk Bersatu kembali ke pangkuan UMNO.

Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker