ROS tiada halangan Bersatu adakan mesyuarat malam ini

Pendaftar Pertubuhan (ROS) tiada halangan untuk membenarkan Bersatu mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu malam ini.

Dalam satu kenyataan, ROS berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah dilonggarkan kepada perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mulai 1 Mei lalu.

Bagaimanapun, aktiviti itu perlu mendapat kebenaran ROS dan dengan syarat ia tidak melibatkan sekumpulan besar orang.

“Kebenaran ini adalah terhad dan ia tidak termasuk persidangan, perhimpunan, mesyuarat agung dan sebarang mesyuarat atau aktiviti-aktiviti yang melibatkan perhimpunan manusia secara fizikal dengan jumlah yang ramai.



“Selaras dengan itu, pihak ROS telah mengambil maklum dan tiada halangan bagi pihak Bersatu untuk mengadakan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dengan jumlah ahli MPT yang telah ditetapkan,” jelasnya.

ROS memberi maklum balas terhadap pertanyaan Malaysiakini berhubung mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur malam ini.

Ini selepas beberapa pihak berkata, Bersatu tidak sepatutnya mengadakan mesyuarat berkenaan kerana bertentangan dengan arahan ROS.

Pada Mac lalu, ROS mengeluarkan arahan melarang segala bentuk aktiviti oleh mana-mana organisasi yang berdaftar dengannya selepas PKP dikuatkuasakan.



Larangan itu menyatakan ia berkuat kuasa sehingga 30 Jun.

Menurut ROS, sejak PKPB dikuatkuasakan, mereka telah mempertimbangkan permohonan daripada pertubuhan berdaftar dan NGO untuk mengadakan mesyuarat.

ROS berkata Bersatu juga telah dimaklumkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berkaitan penularan Covid-19.

“Pematuhan semua arahan dan SOP ini hendaklah di bawah kawalan ketat pihak Bersatu dan apa-apa jua kemungkinan sekiranya berlaku ketidakpatuhan arahan dan SOP berkaitan, ia adalah menjadi tanggungjawab pihak Bersatu,” katanya.



Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker