Ikut nasihat Sultan, semua Adun Bersatu Johor setia bersama PN.

Ambil serius nasihat Sultan, Adun PPBM Johor terus sokong kerajaan PN

Majoriti Adun PPBM Johor yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur semalam kekal memberi sokongan kepadanya.

Dalam kenyataan bersama, Adun PPBM Johor terbabit menyatakan sokongan padu kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor berikutan dakwaan kerajaan negeri itu bakal tumbang sekali lagi.

“Adun PPBM mengambil perhatian serius amaran Sultan Johor dengan berdiri teguh sebagai komponen penting dalam PN yang menerajui kerajaan negeri ketika ini. Kesepakatan itu dinyatakan dalam pertemuan bersama perdana menteri, yang juga Adun Gambir di Kuala Lumpur semalam.

“Semua Adun yang hadir akur dengan titah DYMM Sultan Johor untuk bersama-sama memastikan kepentingan rakyat dijunjung dan pada masa yang sama akan menguatkan PPBM negeri sebagai pendokong kerajaan negeri,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh Adun Pemanis, Dr Chong Fat Full, yang sebelum ini bersama PKR, tetapi kemudian mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas yang turut dilantik sebagai anggota exco di bawah kerajaan PN.

Sementara itu, Adun Kempas dan juga bekas menteri besar sebelum ini, Osman Sapian, yang tidak hadir dalam pertemuan itu turut menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.

“Adun Kempas, Osman Sapian yang tidak dapat hadir turut menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Dalam pertemuan hampir 2 jam itu, Muhyiddin selaku presiden PPBM mendapat sokongan penuh berhubung kedudukan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang tergugur taraf keahlian dalam PPBM,”katanya.

PPBM Johor turut memuji pencapaian Muhyiddin dalam meneraju negara, termasuk usaha memulihkan ekonomi yang terkesan oleh wabak Covid-19.

Sempena pertemuan itu juga, Adun PPBM Johor, yang diketuai Mazlan Bujang (Puteri Wangsa), juga menghadiahkan kemeja T yang tertera slogan “Ikut Nasihat Abah, Kita Mesti Menang” kepada Muhyiddin.

“Adun PPBM Johor menghadiahkan kemeja T yang tertera slogan ‘Ikut Nasihat Abah’ ‘Kita Mesti Menang’ sebagai lambang keyakinan kepada kepimpinan Muhyiddin selaku perdana menteri dan presiden PPBM,” katanya.

Pertemuan itu turut disahkan oleh seorang pemimpin PPBM yang enggan dikenali kepada FMT tanpa memberi ulasan lanjut.

Semalam Sultan Johor mengingatkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan “serta-merta” jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat.

Sultan Ibrahim berkata, beliau kecewa “perebutan kuasa” masih berlaku dalam keadaan rakyat susah.

“Mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat. Saya tidak boleh tengok rakyat menderita dan tidak akan biarkan negeri dikucar-kacirkan,” katanya.

Sultan Ibrahim berkata, rakyat akan diberi peluang untuk memilih wakil rakyat baru jika DUN dibubarkan.

FMT

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker