Dr M jumpa pemimpin PH & Warisan. PKR diketepikan? Saifuddin Nasution Enggan Ulas

Dr Mahathir Mohamad bertemu dengan beberapa pemimpin Pakatan Harapan tengah hari tadi.

Bagaimanapun, tiada kelibat pemimpin PKR dilihat dalam pertemuan tersebut.

Pembantu bekas perdana menteri Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin berkongsi gambar pertemuan itu di Facebook.

“Hari ini Tun (Dr Mahathir) meeting Pakatan Harapan plus (Bersatu Tun M dan Warisan) bersama, lepas itu (Ahli Parlimen Sri Gading) YB Shahruddin Salleh datang mengejut jumpa Tun M lepas umum letak jawatan,” katanya.

Hantaran Adam itu disertai tanda pagar #KembalikanPilihanMajoriti.

Kelihatan di dalam gambar ialah Dr Mahathir, timbalan presiden Bersatu yang dipertikaikan Mukhriz Mahathir, Marzuki Yahaya yang mengaku masih setiausaha agung parti itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden Warisan Shafie Apdal, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke.

Ditanya mengenai ketidakhadiran pemimpin PKR pada pertemuan itu, setiausaha agung parti Saifuddin Nasution enggan mengulas.

Sementara itu, Marzuki memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan pada hari ini “bukan mesyuarat rasmi” ketika disoal mengapa tidak ada pemimpin PKR yang hadir.

Spekulasi mengatakan Dr Mahathir dan PH sedang merancang untuk mengambil alih semula kerajaan daripada Perikatan Nasional.

Khabar angin itu semakin kuat hari ini berikutan peletakan jawatan Shahruddin sebagai timbalan menteri yang mengurangkan majoriti dua kerusi PN di parlimen kepada satu kerusi.

PH mengisyaratkan mereka memiliki jumlah MP mencukupi untuk merebut kembali Putrajaya.

Bagaimanapun, sumber berkata memutuskan calon perdana menteri antara Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim masih menjadi hal yang menyukarkan untuk bekas gabungan parti pemerintah itu.

PN menguasai kerajaan persekutuan susulan rampasan kuasa politik pada akhir Februari selepas Muhyiddin menarik Bersatu keluar daripada PH, memicu keruntuhan kerajaan berusia 22 bulan itu.

Selepas kemelut politik selama seminggu, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan setelah membentuk gabungan parti pemerintah PN bersama Umno, BN, PAS, GPS dan STAR.

Related Articles

One Comment

  1. Macam mana boleh dakwa PH Plus?? Bos PKR pun tak datang. Sepatutnya gelar kumpulan itu PH Minus atau PH-. Rumahtangga sendiri pun kelam kabut dan berpecah belah, masih lagi mimpi nak ambil alih kerajaan. Lebih baik pemimpin2 PH bincang bidang kerja nak buat selepas PRU15 sebab pengundi2 Melayu yang jadi penentu akan memastikan PH akan lenyap.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker