Wanita dan stress: Adakah membaca mampu menjadi terapi jiwa?

Saya merasa terpanggil untuk menulis artikel berkaitan tajuk di atas kerana merasakan golongan wanita juga tidak terkecuali daripada mengalami stres. Malahan tidak keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa tahap toleransi wanita dengan stres adalah rendah berbanding lelaki.

Ini kerana wanita sering mengalami stress dan ‘anxiety’ atau kebimbangan melampau akibat daripada tekanan emosi dan mental yang datang daripada pelbagai faktor dalam kehidupan. Ekoran daripada stres dan tekanan ini, wanita lebih cenderung untuk menyimpan perasaan.

Keengganan berkongsi masalah adalah mungkin kerana malu, takut dipandang serong, tidak percaya dengan rakan, keluarga, kaunselor dan juga merasa tidak yakin dengan diri sendiri. Justeru, inilah sebenarnya yang menjadi pencetus kepada pelbagai masalah emosi dan mental wanita di Malaysia sehingga ada yang sampai ke tahap mencederakan diri sendiri dan juga menyebabkan kematian.

Kebelakangan ini media banyak melaporkan kes penderaan domestik yang berlaku sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mungkin terdorong daripada perasaan panik kerana masyarakat belum pernah melalui PKP dan juga akibat tekanan kerana berada di rumah terlalu lama.

Malahan pelajar wanita dari institusi pengajian tinggi (IPT) juga mengalami stres dan ‘anxiety’ kerana tertekan dengan isu pembelajaran secara maya seperti kesukaran mengakses internet, kurangnya sokongan dari keluarga dan persekitaran yang tidak kondusif. Ini mengakibatkan mereka semakin ketinggalan dalam pelajaran dan seterusnya merasa tertekan sehingga mencetuskan panik. Ada dalam kalangan pelajar ini yang mengalami stres sehingga mendapat ekzema, menangis saban hari, mengalami kebimbangan melampau dan sebagainya.

Kaum wanita seharusnya menjadi lebih kuat dan tabah dalam menghadapi stres. Namun begitu, kadangkala dugaan yang mendatang itu amat berat sehingga ada yang tidak mampu untuk bangkit semula. Ada dalam kalangan mereka ini, yang memendam rasa sehingga menyebabkan mereka lebih menderita, ada yang mendapatkan bantuan kaunselor, badan bukan kerajaan (NGO), pakar psikiatri, pakar psikologi dan ada yang meluahkan pada rakan karib atau ahli keluarga.

Biblioterapi, merawat jiwa dengan membaca

Namun, tidak ramai yang tahu terdapat pelbagai terapi dalam merawat stres ini, di mana salah satunya ialah “biblioterapi”, iaitu kaedah terapi yang menggunakan buku atau apa sahaja bahan bacaan sama ada kepunyaan peribadi mahupun dipinjam di perpustakaan.

Hanya Islam, satu-satunya agama di dunia ini yang perintah pertamanya adalah membaca. Dalam bahasa Arab, iqra’ itu bermaksud, menghimpun (informasi, data, pengetahuan dan wawasan) di mana melalui pembacaan, manusia akan dapat menilai, meneliti, memahami makna dan menganalisis.

Oleh itu, jelas di sini menunjukkan Allah memerintahkan manusia supaya tidak sekadar membaca Al-Quran, malahan maknanya juga harus difahami secara mendalam supaya memberi kesedaran dan kesembuhan kepada manusia. Ini bermaksud, biblioterapi telah wujud sejak zaman dahulu lagi. Membaca bukan sekadar memberi informasi malahan juga untuk merawat jiwa.

Firman Allah dalam Al Quran:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. [Surah Yunus: Ayat 57]

Terapi paling mudah dan murah

Kaedah biblioterapi ini amat sinonim dengan masalah berkaitan jiwa kerana ia merupakan terapi paling murah dan mudah untuk diperolehi. Melalui pembacaan, si pembaca akan menjiwai watak/karakter dalam buku tersebut dan mengaitkan dirinya dengan masalah yang hampir sama dihadapi watak dalam cerita tersebut. Lantas, melalui pembacaan tersebut katarsis dapat diluahkan dan secara perlahan-lahan, si pembaca memahami bahawa setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.

Menarik bukan!! Membaca mampu membuat kita bahagia. Membaca mampu membuat kita gembira. Membaca mampu membuat kita sedar bahawa bukan hanya kita seorang yang mengalami masalah tersebut di dunia ini. Ramai lagi yang mengalaminya. Adakah kita akan kalah dengan diri kita sendiri?. Perjuangan melawan penyakit mental juga adalah satu jihad dalam diri kita.

Biblioterapi masih baru dikenali di Malaysia, namun ianya semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia. Ramai yang mula merasa selesa apabila membaca dengan tujuan merawat jiwa akibat dari stres. Pembacaan dari bahan-bahan terpilih mampu merawat emosi dan juga jiwa seseorang kerana kebiasaannya buku yang mempunyai elemen biblioterapi ini ditulis oleh pengarang-pengarang yang telah melalui sendiri pengalaman pahit tersebut dalam hidup mereka. Lalu, mereka meluahkan perasaan mereka ke dalam bentuk penulisan dan bagaimana mereka berjaya melaluinya.

Membaca mampu mengubah persepsi

Kaedah biblioterapi atau terapi membaca ini adalah seperti menelan ubat yang amat pahit. Ramai di antara kita merasa benci apabila terpaksa makan ubat ketika sakit kerana rasanya yang amat pahit. Namun, ubat yang pahit itulah yang membantu meredakan penyakit kita. Sama seperti membaca, amat berat untuk dilakukan oleh seseorang tetapi apabila bertemu dengan buku yang memberi inspirasi dan motivasi dalam hidup, maka kita mampu untuk melangkah ke hadapan dan menghadapi apa jua rintangan.

Saya juga pernah melalui situasi di mana saya merasa susah untuk memaafkan seseorang, sehingga mengelak untuk bertembung dengannya. Aura negatif dirasakan terlalu kuat dalam diri saya. Lalu saya dapati, saya sering keletihan, pening kepala dan cepat merasa runsing. Kemudian, saya telah membaca buku hasil tulisan Mizi Wahid, “The Art of Letting God”. Saya merasa terkesan yang amat sangat apabila membaca buku ini kerana terlalu banyak isi kandungannya yang berkaitan dengan saya. Usai membacanya, hati saya terpujuk untuk memaafkan orang tersebut dari jauh lalu saya merasa lebih tenang dan bahagia.

Oleh itu, biblioterapi ini amat sesuai diamalkan kerana melalui pembacaan bahan terpilih, ianya mampu untuk merawat jiwa dan hati seseorang supaya menjadi lebih positif dan kekal bahagia.

— BERNAMA

Rafidah Abdul Aziz merupakan Pensyarah Kanan dari Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM, Kampus Puncak Perdana

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker