Tak salah like, share dan comment
Saya terpandang Zulida sedang tercari-cari tempat duduk. Di tangannya tertatang mi sup dan air mineral. Zulida tampak terkejut bila terpandang saya. Dia tak sangka terserempak dengan saya di Restoran Bunch Oh, Malakat Mall, Cyberjaya. Dengan tersenyum simpul dia duduk di depan saya.
Petang itu saya makan roti canai terbang dan teh tarik. Selepas diskusi dengan teman-teman sepejabat, saya mengalas perut sebelum pulang. Sebagai seorang warga emas yang dikategorikan berisiko tinggi dijangkiti covid-19, saya work from home. Bila ada mesyuarat, barulah saya datang ke pejabat di Malakat Mall.
Cuma akhir-akhir ini, mesyuarat dan perbincangan saya kian kerap diadakan. Kini boleh dikatakan dalam seminggu saya akan ke pejabat tidak kurang tiga kali. Tak lama lagi saya rasa pasti akan kembali work from office.
Zulida saya kenali melalui laman sosial Facebook. Dia seorang pereka grafik untuk laman web yang kerap berkunjung ke halaman Facebook saya untuk mencelah memberi komen terhadap apa yang saya paparkan. Jika tidak, dia sekadar mencatat tanda suka. Kerap juga dia share apa yang saya tulis. Oleh sebab kekerapannya muncul ke halaman saya, maka saya mulai sedar kehadirannya. Bila ada masa terluang, saya menjenguk dan memberi komen juga untuk statusnya.
Cuma ketika PKP kerana Covid-19, Zulida beralih bidang. Dia menjual pelbagai jenis sambal yang diperoleh daripada teman serumahnya. Musim raya baru-baru ini dia turut menjual biskut raya. Saya bertanya mengenai sambutan bisnes baharunya. Katanya, sambutan amat baik cuma mereka yang membeli kebanyakannya bukan dalam kalangan kenalan mahupun saudara-maranya. Sebaliknya hampir kesemua mereka adalah orang yang baru dikenali sebagai pelanggannya.
Sambil mempamerkan wajah sedih, Zalida berkata, dia sudah malas hendak bercerita dengan kawan-kawan dan saudara-maranya mengenai bahan jualannya. Katanya, biarlah dia aktif memberi komen tentang berita dan gosip untuk suka-suka di halaman kenalannya. Dia sudah tawar hati untuk mencatat sedikit pun tentang apa yang dijualnya.
Kata Zulida, biasanya dia akan menerima tidak kurang daripada 30 tanda suka atau 7-8 komen terhadap statusnya bila dia memaparkan cerita yang entah apa-apa. Namun, sebaik sahaja dia bercerita mengenai barangan jualannya, statusnya akan sunyi sepi daripada komen teman-temannya. Malah, dia pernah mendapat PM tepi dan dibahasakan apabila meletak tag nama kawannya untuk memaparkan barangan jualannya.
Saya termenung seketika mendengar curhatnya. Benar, Zulida bukanlah orang yang pertama mengalami perkara yang sama. Saya tahu beberapa kenalan yang mula dipandang serong apabila cuba memperkenalkan bisnes mereka kepada teman-teman. Malah, ada satu kes di mana orang yang memperkenalkan bisnesnya disekat kenalan sendiri.
Mengapa kita berasa takut dan lari daripada kenalan yang menghubungi kita semata-mata kerana hendak memperkenalkan barangan jualannya? Jika kita boleh berlama-lama berborak, bergosip dan berbalas-balas komen tentang hal-hal yang tiada menjejaskan kita secara langsung dalam hal politik, isu semasa, gosip artis dan tular terkini, apa salahnya jika kita memberi tanda suka, komen atau share sahaja sebagai tanda sokongan kepada apa yang teman kita sedang usahakan?
Bukan semua orang mula berniaga kerana terdesak. Ramai yang berniaga kerana minat. Bukan semua orang berbuat bisnes itu mahu kaya-raya lalu menjadikan kenalan-kenalannya sebagai mangsa pembeli produknya. Sedangkan ideal kebanyakan bisnes itu adalah untuk membantu kita mendapatkan sesuatu produk dengan cara yang lebih mudah.
Apalah salahnya jika kita beri tanda suka, beri komen perangsang atau kongsikan produk jualan kenalan kita. Kalau kita kawan dia, bantulah dia supaya dia senang. Akhirnya kesenangan itu akan berbalik juga kepada kita kerana sesungguhnya sokongan moral itu juga adalah sebuah sedekah.
*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian