Sekatan penjualan arak: PPIM
PREMIS perniagaan seperti pub, kelab malam termasuk kedai serbaneka wajar diharamkan beroperasi sekiranya penguatkuasaan undang-undang ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan atau kematian kepada pengguna jalan raya lain tidak menunjukkan keberkesanan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, seperti semua pihak sedia maklum, di premis-premis tersebut minuman keras dijual secara terbuka tanpa sekatan.
Beliau berkata, pemberian lesen untuk menjual minuman keras kepada premis-premis itu juga sangat mudah menyebabkan minuman terbabit begitu senang didapati dan boleh dibeli di mana-mana sahaja.
“Perkara ini harus dibetulkan supaya ia tidak terus menjadi bencana kepada orang lain.
“Kerajaan perlu ambil tindakan serius dengan lebih berhati-hati dalam pemberian lesen menjual minuman keras serta perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih berat ke atas pemilik premis serta peminum arak.
“Jika di Korea Selatan, hukuman dikenakan ke atas mereka yang melakukan kesalahan ini sangat ‘gila’ (berat) dan di United Kingdom (UK) pula mereka tak boleh minum sesuka hati kerana terdapat syarat yang dikenakan. Tapi di Malaysia, penguatkuasaan terhadap perkara itu tiada,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Tegasnya, penguatkuasaan undang-undang terhadap peminum-peminum arak perlu jelas, sebagai contoh mereka hanya dibenarkan mengambil minuman keras di rumah dan tidak boleh keluar serta memandu.
Nadzim berkata lagi, beliau juga melihat keperluan untuk pemilik lesen, premis atau industri arak di negara ini untuk menyediakan insurans berkelompok atau ganti rugi yang dibayar kepada mangsa atau keluarga yang terkesan sama ada mati atau cedera.
“Bukan setakat hukuman kepada pemabuk yang melanggar tetapi dengan ada insurans atau ganti rugi ini, sekurang-kurangnya nasib mangsa atau keluarga mangsa yang terkesan terbela,” katanya.
Tambahnya, jika semua itu masih belum mampu menyelesaikan segala masalah ditimbulkan pemandu mabuk ini, langkah akhir adalah dengan menutup atau mengharamkan terus pub, kelab malam atau kedai serbaneka yang menyediakan sumber minuman keras itu daripada terus beroperasi.
SH