Sudah mabuk, tumbuk dan baling kerusi pula pada polis

Seorang pengurus kelab malam dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas empat pertuduhan termasuk memandu dalam keadaan mabuk, menumbuk polis serta membaling kerusi terhadap penjawat awam itu.

Leng Kar Loon, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi dan S. Mageswary.

Di hadapan Majistret Puteri Nursheila, bapa kepada dua anak itu didakwa memandu kereta jenis Toyota Avanza di bawah pengaruh alkohol yang mana kandungan alkohol di dalam badannya didapati sebanyak 200 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter darah (ml) berbanding had ditetapkan 80 mg bagi 100 ml darah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Bulatan Bilion, Cheras di sini pada 1 pagi, 21 Mei lepas, mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu percubaan dibatalkan jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Abdullah Khazali menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Tan Kian Peng yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum kerana anak guamnya yang berpendapatan RM2,500 sebulan menanggung dua anak berumur 10 dan 20 tahun.

Majistret Puteri Nursheila membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Di hadapan Majistret Mageswary, Leng mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan.

Dia didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap anggota polis trafik, Lans Koperal Mohd Radhie Md Yatim, 37, dengan menumbuknya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap penjawat awam mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan kekerasan jenayah terhadap anggota polis sama dalam menjalankan tugas dengan membaling kerusi kepada mangsa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa berkelakuan rusuh dan tidak senonoh terhadap mangsa sama mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah seksyen serupa yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau hukuman penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Bilik Penguat Kuasa Balai Polis Trafik, Jalan Tun H.S. Lee di sini, pada 1 pagi, 21 Mei lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan, manakala Tan memohon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 21 Julai untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker