Dua didakwa tetak remaja
BURUH kontrak dan pendawai elektrik didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap remaja lelaki di pekan Kelapa Sawit, Kulai, dua minggu lalu.
Tertuduh, Lee Lok Heng,19, dan Saw Ching Sean, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Kedua-dua tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dengan menggunakan senjata parang panjang setiap seorang,iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian.
Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di hadapan restoran di Jalan Kelapa Sawit 2, Pekan Kelapa Sawit,Kulai, 11.50 malam, 13 Mei lalu.
Kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqilah Ahmad Fuad manakala tertuduh diwakili peguam, Goh Sze Han dan Yup Che Kai.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 setiap tertuduh dengan alasan kesalahan mereka lakam adalah serius dan boleh menyebabkan kematian.
Bagaimanapun,Sze Han berhujah kedua anak guamnya itu sudah tidak bekerja lagi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping perlu menanggung keluarga masing-masing.
Hakim kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dijamin RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Lok Heng dan Ching Sean juga diperintahkan perlu melapor diri masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai dan Balai Polis Air Bemban setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Julai lalu.
HM