Bentang usul kekosongan kerusi, adakah Dun Pulau Pinang bakal dibubarkan?

Pulau Pinang bentang usul kekosongan kerusi pada sidang DUN akan datang

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membentangkan usul untuk mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Teluk Bahang dan Seberang Jaya pada persidangan DUN Pulau Pinang yang akan datang.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata ketetapan itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan PH negeri selaras dengan Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang semalam.

Beliau berkata mesyuarat itu diadakan susulan pengumuman dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang – ADUN Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang Zolkifli Md Lazim – menarik balik sokongan mereka terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH pada Sabtu lepas.

“Tindakan kedua-dua wakil rakyat itu yang jelas menyokong kerajaan Perikatan Nasional adalah bercanggah dengan pendirian Bersatu Pulau Pinang serta PH Pulau Pinang. Justeru itu, Majlis memutuskan untuk melucutkan mereka sebagai ahli kerajaan PH. Selaras dengan itu, segala hak dan kelayakan mereka sebagai ADUN kerajaan negeri adalah terbatal serta-merta.

“Bagi ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin yang telah digantung keahliannya oleh PKR, keputusan telah dibuat untuk menggantung statusnya sebagai ahli kerajaan PH. Oleh itu, segala hak dan kelayakannya sebagai ADUN kerajaan negeri adalah digantung serta-merta sehingga keputusan muktamad dibuat oleh pimpinan PKR,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Chow berkata mesyuarat turut memutuskan untuk melantik Ahli Parlimen (MP) Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik, MP Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman masing-masing sebagai “ADUN angkat” bagi kawasan Teluk Bahang, Seberang Jaya dan Bertam untuk mengurus dan menyelaras program serta urusan kerajaan di tiga kawasan terbabit.

Pulau Pinang mempunyai undang-undang anti-lompat parti iaitu Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 yang antara lain memperuntukkan ADUN yang keluar parti atau dilucutkan keahlian hendaklah mengosongkan kerusi. Peruntukan ini turut terpakai kepada ADUN yang bertukar parti.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan ADUN Bertam dan Teluk Bahang bahawa mereka bukan keluar parti sebaliknya hanya menarik semula sokongan terhadap PH, Chow berkata Bersatu bukan lagi sebahagian daripada PH selepas parti itu mengumumkan keluar daripada pakatan berkenaan pada 23 Feb lalu.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan ketika ini komposisi di DUN menyaksikan PH menguasai 35 kerusi dengan DAP memegang 19 kerusi, PKR (14) dan Parti Amanah Negara (2) manakala UMNO dan Bersatu masing-masing memegang dua kerusi dan PAS dengan satu kerusi.

— BERNAMA

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker