PPBM pecat Dr M, Mukhriz dan Syed Saddiq

Share

Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara 5 ahli Parlimen yang dipecat PPBM kerana menentang penubuhan kerajaan Perikatan Nasional.

Dalam surat pemecatan bertarikh hari ini yang dilihat FMT, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah turut dipecat bersama 3 pemimpin itu.

Menurut surat itu, ahli Parlimen terbabit duduk bersama blok pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat sehari pada 18 Mei lalu.

“Maka dengan ini, dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan PPBM, keahlian anda dalam PPBM adalah terhenti serta-merta,” demikian menurut surat pemecatan yang ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya.

Fasal 10.2.2 perlembagaan PPBM menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka mengisytiharkan keluar parti.

Fasal 10.2.3 pula menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka menyertai atau menjadi ahli parti politik lain.

FMT sedang menghubungi Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin dan Suhaimi untuk mendapatkan pengesahan mereka.

Mahathir ialah pengerusi dan seorang daripada pengasas PPBM, manakala anaknya Mukhriz ialah timbalan presiden yang bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti bulan depan.

Syed Saddiq pula ialah ketua Pemuda PPBM, manakala Maszlee dan Amiruddin pernah menjadi menteri pendidikan dan timbalan menteri kewangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

FMT

(Visited 717 times, 31 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!