Covid-19: PM zahir pengiktirafan terhadap ‘frontliners’

Sidang video Perdana Menteri itu disertai wakil daripada KKM, ATM, PDRM, JIM, JBPM, APM, APMM dan Rela. Foto: Facebook Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan terhadap semua petugas barisan hadapan dalam memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Bercakap pada sidang video kira-kira 30 minit bersama barisan hadapan negara yang terlibat dalam menangani Covid-19, Muhyiddin berkata, pengiktirafan berkenaan bukan sahaja diberikan di negara malah di peringkat antarabangsa.

“Usaha yang telah dilakukan ini telah memberi kesan. Ini adalah sesuatu yang kita patut berbangga bahawa Malaysia antara yang terbaik di dunia dari segi pengurusan wabak Covid-19.

“Saya rasa ia satu pengiktirafan, kredit (penghargaan) kepada semua yang terlibat dan bekerja keras selama ini,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, pengurusan kesihatan Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia.

“Ini satu kredit yang saya cukup bangga dan saya kira ini satu contoh bahawa memang kita berupaya sebab itu walaupun nampaknya graf (Covid-19) sudah menurun tetapi belum sampai ke paras mendatar,” katanya.

Muhyiddin berkata, inisiatif berkenaan perlu diteruskan “rakyat harus ke depan untuk memainkan peranan juga, jadi saya hendak ucapkan terima kasih kerana berpeluang bercakap secara santai”.

Beliau sekali lagi mengiktiraf peranan dan sumbangan besar yang dimainkan oleh semua pihak untuk membantu meletakkan Malaysia di satu keadaan yang lebih baik daripada masa-masa lepas.

Sidang video itu disertai wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.-Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker