Program Subsidi Upah bantu IKS tidak buang pekerja

Apabila permintaan terhadap percetakan mula berkurangan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Azri Che Mukhtar mulai runsing mengenai nasib enam orang pekerja di bawah syarikatnya, Che Mukhtar Ideas (CMi).

Azri, 31, menguruskan perniagaan yang dimulakan bapanya sejak lapan tahun lepas, seboleh-bolehnya enggan memberhentikan pekerja, mengambil kira mereka semua ialah warga tempatan berusia bawah 32 tahun dengan majoriti datang daripada keluarga B40.

“Mereka sudah ibarat keluarga kerana sudah lama bersama kami. Malah, sudah boleh bekerja dengan pengawasan minimum dan mahir mengendalikan mesin. Boleh dikatakan lebih 70 peratus perniagaan terjejas ekoran PKP kerana tiada tempahan untuk mencetak.

“Sedangkan untuk perniagaan kecil dan sederhana seperti kami, kos operasi bulanan paling besar ialah gaji pekerja. Seboleh-bolehnya saya mahu memastikan gaji dibayar tepat pada harinya supaya tidak menganggu jadual kewangan mereka,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.



Azri berkata pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Program Subsidi Upah menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada awal April, membolehkan CMi menerima subsidi RM1,200 bagi seorang pekerja sekali gus dapat mengekalkan mereka tanpa perlu melakukan pemotongan gaji.

Beliau membuat permohonan secara dalam talian pada 11 April lalu dan tidak menyangka ia diproses dalam masa yang singkat memandangkan wang tersebut dikreditkan ke akaun syarikat pada 18 April lepas, membolehkan semua pekerja menerima gaji bulan tersebut tepat pada harinya.

“Bantuan ini adalah untuk tiga bulan, bermakna kami mempunyai masa sehingga Jun untuk menyusun semula kewangan syarikat untuk kembali bernafas pasca COVID-19. Alhamdulillah, kerana jalan terakhir jika tiada bantuan seperti ini ialah menjual beberapa aset bagi menampung kos operasi.

“Bukan hanya bantuan subsidi upah, namun moratorium pinjaman bank juga amat membantu kami mempunyai lebihan tunai dalam tempoh sukar ini. Selain itu, kami juga berterima kasih kepada pemilik premis yang memberi keringanan kepada kami dalam urusan membayar sewa,” katanya.



Azri menambah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membolehkan mereka kembali beroperasi dengan keutamaan menyiapkan tempahan tertunda ekoran PKP, selain semakin rancak mencari pelanggan baharu secara dalam talian.

Berbeza daripada tahun sebelumnya, beliau berkata Ramadan merupakan ‘tempoh keemasan’ buat syarikat percetakan kerana tempahan yang banyak untuk mencetak apa sahaja yang berkaitan hari raya — pelekat bekas kuih, sampul duit raya dan kad ucapan — namun situasinya berbeza tahun ini ekoran penularan COVID-19.

“Justeru itu, bantuan upah RM1,200 seorang memang sangat membantu perniagaan dalam tempoh sukar seperti ini. Pekerja juga faham dengan situasi dialami…paling penting gaji berjalan seperti biasa walaupun saya sudah beritahu bonus raya tahun ini tidak sebanyak tahun lepas. Namun rezeki yang ada, kami kongsi bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zamir Zuraiedy Zakaria, 23, yang sudah dua tahun bekerja di CMi berkata beliau sememangnya risau apabila dimaklumkan tidak perlu datang bekerja sejak PKP berkuat kuasa pada 18 Mac lepas kerana mengikut pemahamannya ‘tiada kerja, tiada gaji’.



Anak jati Beserah di sini itu berkata kerunsingan paling utama ialah jika beliau kehilangan pekerjaan.

Ini kerana gaji bulanan digunakan beliau untuk membantu ayahnya yang bekerja sebagai nelayan tradisional bagi menyara perbelanjaan rumah termasuk tiga adik yang masih bersekolah.

“Setiap pagi saya memeriksa WhatsApp syarikat jika kami boleh kembali bekerja. Walaupun bos beri jaminan akan berusaha sebaik mungkin supaya gaji tidak dipotong, namun perasaan risau tetap ada. Hendak membuat kerja sampingan juga tidak banyak pilihan kerana hampir semuanya tidak beroperasi sepanjang PKP.

“Semasa bos memberitahu ada membuat permohonan subsidi upah, saya sangat berharap permohonan itu diluluskan segera supaya gaji April tidak tertangguh. Tapi paling saya bersyukur bila syarikat beri jaminan tidak akan memberhentikan pekerja. Bukan senang hendak mencari kerja lain dalam keadaan sekarang,” katanya.



— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker