Mengejar ganjaran 10 malam terakhir Ramadan
oleh Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir
SEPARUH Ramadan sudah berlalu dan kini kita berada pada separuh yang kedua. Sudah pasti 10 malam terakhir bakal menjelma dengan nilai satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan. Dengan situasi virus Covid-19 belum berakhir, sudah pasti 10 malam terakhir akan dihidupkan di rumah masing-masing.
Satu kebiasaan yang baharu sebagaimana solat sunat Tarawih dilakukan secara berjemaah bersama ahli keluarga. Allah SWT menjanjikan nilai satu daripada 10 malam terakhir sebagaimana firman-Nya: “Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” Surah al-Qadr, ayat 3
Bagaimanapun, Allah tidak menzahirkan pada malam ke berapa akan berlakunya al-Qadr. Rahsia penyembunyian malam kemuliaan ini adalah supaya menjadi pendorong kepada hamba-Nya agar berusaha bersungguh-sungguh menunaikan ibadat sepanjang malam. Perkara ini juga sebagaimana disembunyikan waktu mustajab doa pada Jumaat supaya mendidik manusia sentiasa berusaha dalam mendapatkan sesuatu yang bernilai.
Ganjaran yang besar menanti setiap hamba-Nya, menuntut istiqamah berterusan dalam melakukan ibadat bermula dari awal Ramadan sehingga pengakhirannya. Rasulullah SAW amat menitikberatkan ibadat pada malam khususnya menghampiri 10 yang terakhir. Daripada Aisyah RA berkata: “Adalah Rasulullah apabila masuk pada 10 akhir (Ramadan), Baginda akan menghidupkan malamnya (dengan ibadat), mengejutkan ahli keluarganya dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan semua isteri).” Hadis Riwayat Muslim
Kesungguhan beribadat pada 10 malam terakhir Ramadan pasti memberi kesan yang besar kepada seluruh umat Islam. Bagi mereka yang istiqamah melakukan solat fardu berjemaah, diikuti solat sunat Tarawih pada malam hari, pasti 10 malam terakhir akan diisi dengan sepenuhnya. Walaupun tahun ini tiada solat sunat Tahajud di surau atau masjid berdekatan, ibadat bersama keluarga ini dapat dihidupkan dengan jayanya. Nabi berdasarkan penceritaan Aisyah RA, katanya: “Rasulullah berusaha sedaya upaya pada malam 10 akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam yang lain.” Hadis Riwayat Muslim
Oleh itu, persediaan bagi menghadapi 10 malam terakhir ini perlu dibuat bermula sejak awal Ramadan. Bagi mereka yang memburu malam al-Qadr, pastinya ibadat yang dilakukan akan bertambah lebih-lebih lagi bacaan al-Qur’an dan solat sunat yang lain. Pada saat ini, mereka akan memohon doa, merintih kepada Allah agar dosa yang dilakukan mendapat keampunan dan memohon agar diberi panduan ke jalan yang benar.
Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)