Badang, Superman dan Batman antara pelanggan kedai musim Covid-19
KORONAVIRUS | Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, menegaskan bahawa hanya nama dan nombor telefon sahaja perlu dicatatkan pelanggan ketika memasuki sesuatu premis perniagaan.
Menurut beliau, ia adalah ketetapan sama seperti yang yang dimaklumkannya dalam sidang media pada 12 Mei lalu.
Bagaimanapun, Ismail berkata, memang terdapat premis perniagaan yang meminta pelanggan menuliskan nama penuh berdasarkan apa yang dipaparkan pada kad pengenalan masing-masing.
Katanya, langkah tersebut terpaksa dilakukan kerana terdapat segelintir individu yang gagal menyatakan nama sebenar masing-masing, sebaliknya menggunakan nama-nama watak rekaan.
Antaranya, kata menteri kanan itu, ialah Badang, Superman dan Batman.
“Kerajaan dah putuskan sebelum ini bahawa hanya nama dan nombor telefon diperlukan bagi tujuan (rekod) jika berlaku apa-apa kes yang berkaitan dengan Covid-19.
“Katakanlah ada positif (kes Covid-19), jadi kita boleh hubungi mereka yang meninggalkan nombor telefon dan datang ke premis tersebut.
“Tetapi saya difahamkan ramai orang yang tak beri nama dan nombor yang betul. Ada yang ditulis sendiri dengan nama Badang, Superman, Batman dan macam-macam,” katanya.
Dalam keadaan begitu, kata Ismail Sabri, ia akan menyukarkan pihak berkuasa jika berlaku sesuatu yang memerlukan pelanggan terbabit dihubungi.
“Sebab itu ada premis perniagaan tersebut meminta nama pada kad pengenalan supaya nama yang sebenar boleh diketahui,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Ismail berkata demikian mengulas persoalan masih terdapat pihak yang meminta pengunjung premis perniagaan memberikan nama dan nombor kad pengenalan ketika berkunjung ke sesuatu kawasan premis perniagaan.
Mkini
You must be logged in to post a comment.