PKPB: Jangan dek ghairah balik kampung, akhirnya orang tua dijangkiti COVID-19

Dalam pada kebanyakan rakyat Malaysia berteka-teki tentang suasana perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma, kerajaan bertindak melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun.

Susulan pengumuman oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya juga tidak dibenarkan sepanjang lanjutan PKPB selama empat minggu itu.

Seperti yang dijangka, pengumuman “tidak boleh balik kampung” ini mendapat pelbagai reaksi netizen yang tentunya mencurahkan perasaan mereka menerusi paparan media sosial.

Dalam laman Facebook, seorang jurutera profesional, Ir Abdul Rahman berpandangan keputusan kerajaan tidak membenarkan orang ramai pulang beraya itu wajar diambil dari sudut positif kerana emak dan bapa dalam kalangan warga emas diketahui memiliki sistem imunisasi yang lemah dan sangat terdedah kepada serangan wabak itu, sekaligus menambahkan rantaian COVID-19.

“Jangan dek kerana ghairahnya kita nak balik kampung dan ziarah sana sini, akhirnya kita akan menyesal diri sebab orang tua kita dah dijangkiti. Kalau boleh sembuh tak mengapalah juga tapi kalau tak boleh sembuh sampai membawa maut? Akhirnya, nak iring ke kubur pun tak dibenarkan. Tak ke sedih kalau jadi macam tu…,” katanya.

Menerusi catatan di Facebooknya lagi, ujar beliau, peperangan ke atas COVID-19 masih belum berakhir dan memohon semua pihak agar menjadikan dua kes baharu di Sitiawan, Perak sebagai rujukan dan peringatan ketika berada di luar rumah kerana kita tidak akan mengetahui menjadi pembawa virus itu.

Sebelum ini, beliau yang terkenal dengan kata-kata pandangan dan nasihat di Facebook ada mengingatkan rakyat Malaysia tentang kebarangkalian risiko penularan wabak itu pada musim perayaan, ditambah pula dengan kelonggaran syarat bagi aktiviti ziarah sehingga 20 orang pada satu-satu masa, sudah pastinya setiap daripada kita akan leka keluar berhari raya.

Perkongsian yang dikatakan membuka mata ini telah meraih lebih 1,000 ‘share’ ketika artikel ini ditulis.

Sementara itu, ramai warganet di Facebook menyukai kenyataan Abdul Rahman dan membuat hantaran dengan memberi komen yang menggalakkan dan penghargaan.

Noriyati Mohd Shaari, pengguna Facebook dari Beranang, Selangor berkata sebagai anak yang berada di perantauan, mereka haruslah memahamkan ibu bapa mereka akan situasi semasa yang tidak mengizinkan mereka pulang beraya di kampung.

“Yang dah berada di kampung itu faham-fahamkan ibu bapa kenapa ada anak mereka tak balik, semoga mereka faham dan tidak timbul isu sedih dan marah pada anak yang tidak balik,” katanya.

Bagi Hasimah Sim : “Mohon kita semua faham situasi sekarang tidak mengizinkan kita pulang ke kampung berhari raya seperti biasa. Buatlah solat lima waktu, banyakkan selawat zikir bertasbih bertaubat. Jadi jangan kata bosan duduk di rumah”.

Patrick Khoo turut bersetuju dan meninggalkan komen: “Biarlah setahun tak meriah raya, jangan sampai tak beraya selama lamanya”.

Malaysia kini berada di landasan terbaik bagi memutuskan rantaian pandemik itu dan semalam, kes positif COVID-19 terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac, dengan 16 kes dilapor, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 6,742 kes.

Malah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memaklumkan 110 pesakit COVID-19 telah pulih dan dibenarkan discaj semalam menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya 5,223 kes, iaitu 77.5 peratus daripada keseluruhan kes.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker