Pelbagai Krisis, Cabaran Ditempuhi… UMNO Sabah Tetap Kukuh – Bung Moktar

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata UMNO negeri telah melalui pelbagai krisis, dugaan, cabaran dan rintangan.

Katanya, cabaran dan rintangan itu yang membuatkan UMNO Sabah semakin kuat dan kukuh serta hala tuju yang cukup jelas untuk menyakinkan rakyat.

“UMNO Sabah telah melalui berbagai-bagai krisis, dugaan, cabaran, rintangan dan juga halangan… lebih-lebih lagi UMNO Sabah (pemimpin negeri) dan juga parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) turut meninggalkan UMNO apabila kalah masa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Yang amat menyedihkan apabila 22 orang pemimpin-pemimpin UMNO telah meninggalkan parti ini termasuk Ketua-ketua UMNO bahagian, Timbalan Ketua UMNO bahagian serta juga Wanita dan Pemuda turut meninggalkan parti itu.

“Ketika itu UMNO Sabah telah dianggap sudah tidak wujud dan saya telah diberi amanah oleh Yang Berhormat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memimpin UMNO Sabah,” katanya.

Bung Mokhtar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan berkata demikian di dalam segmen Wawancara Khas Sempena Hari UMNO Ke 74 Tahun bersama Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi dengan mengupas tajuk ‘Ke Mana Hala Tuju UMNO Sabah Di Zaman Perikatan Nasional’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Jelas beliau lagi, akar umbi UMNO Sabah tetap setia walaupun ramai pemimpin melompat parti.

“Jangkaan saya tidak salah…yang melompat adalah pemimpin tetapi ahli-ahli UMNO tetap terus bersama UMNO.

“Walaupun kepakaran hanya sedikit ilmu, tetapi saya telah cuba turun ke bawah untuk memastikan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi masih bersama-sama dengan UMNO,’ ujarnya.

Namun kata Bung Moktar lagi, cabaran yang paling mencabar adabila memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

“UMNO Sabah telah meletakkan berbagai-bagai hala tuju, namun cabaran yang paling berdebar apabila membuat keputusan untuk bertanding di PRK Kimanis. Itulah cabaran terbesar dan pada ketika itu tidak ada mana satu pun pemimpin-pemimpin UMNO yang menyatakan bahawa UMNO Sabah akan menang.

“Perjuangan perlu ada keyakinan dan kepercayaan. Saya tahu kita berjuang di bawah berbanding dengan Warisan yang menjadi sebuah kerajaan negeri yang mempunyai bantuan kewangan yang kukuh.

“UMNO Sabah berjaya menyakinkan rakyat kebetulan Pakatan Harapan dan Warisan tidak menepati inspirasi dan keyakinan rakyat. Itu adalah peluang yang terbesar yang ada untuk menumbangkan mereka di Kimanis,” tegasnya. – UMNO Online

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker