UMNO Parti Berstruktur Kukuh, Institusi Sosial Melayu Peka Kepada Semua – Ahmad Zahid
UMNO bukan sahaja sebuah parti yang berstruktur penuh dan kukuh tetapi juga sebuah institusi sosial Melayu yang peka dan prihatin terhadap semua serta relevan dalam apa-apa juga keadaan.
Malah UMNO telah berjaya melalui teori domino politik serta cabaran dan halangan yang penuh mencabar sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dan hari ini kekuatan parti ini kembali dirasai di semua peringkat dan berada dalam satu saf yang cukup baik.
Bagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, parti tersebut yang menyambut ulang tahun penubuhannya ke-74, melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli parti dan pendokong yang setia.
“Orang melihat bahawa UMNO seolah-olah tidak lagi relevan dalam pentas politik negara kita dan UMNO mahu dipecah perintah, maka mereka yang tidak mempunyai daya tahan terpaksa ‘mufaraqah’ mewakili parti sebagai ahli parlimen atau di Dewan Undangan Negeri (DUN). Situasi itulah yang pada hemat saya… saya bukan sahaja dihujani tetapi saya diterjah daripada kiri dan kanan, depan dan belakang malah atas dan bawah. Ramai orang tidak memahami bagaimana sukarnya menghadapi situasi itu.
“Tetapi saya bersyukur kerana saya juga mengalami situasi yang sama apabila saya menakhodai Pemuda UMNO pada tahun 1996 hinggalah berlaku peristiwa 1998, dimana ketika itu pergolakan yang amat berat berlaku di dalam UMNO dan ketika itu saya turut dimangsakan dengan pelbagai tuduhan.”
Jelasnya, ketika itu ISA digunakan untuk memangsakan dirinya dalam arena politik.
“Jadi kemudiannya orang yang sama mengambil alih semula kerajaan menggunakan Akta yang lain untuk memangsakan saya bagi kali yang kedua. Pada 1998 suasana ketika itu berbeda kerana saya mewakili Pemuda tetapi pada 2018 saya mewakili UMNO secara keseluruhannya.
“Hajatnya ialah untuk melakukan satu teori domino, apabila pemimpin atasan itu jatuh maka diharapkan papan-papan atau tiang-tiang belakang akan jatuh… dengan harapan seluruh tiang atau papan pun sama akan turut jatuh. Ertinya apabila presiden atau bekas presiden dikenakan pelbagai pertuduhan yang belum dibuktikan benar atau tidak dan pertuduhan adalah pertuduhan dan saya tidak mahu ‘Contempt of Court’, saya tidak mahu menyebutkan tentang perkara itu,” katanya.
Kata beliau lagi apa yang jelas walaupun teori domino telah dibuktikan pada satu ketika dahulu tetapi teori domino dalam suasana UMNO tidak berlaku kerana biarpun ada di kalangan pemimpin serta bekas pemimpinnya menghadapi pertuduhan yang berat UMNO tetap utuh.
Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas yang mengupas topik ‘Menelusuri Perubahan Lanskap Politik Alaf Baru’ sempena ulang tahun UMNO ke-74 yang disiarkan secara ‘Live’ menerusi facebok UMNO-Online, di sini, hari ini.
Tegas Zahid realitinya akar yang menunjangi UMNO itu adalah ahli-ahli dan UMNO berstruktur dengan cukup kukuh kerana mempunyai 22,000 cawangan-cawangan di seluruh negara selain kepimpinan bahagian juga kukuh.
“Kita lihat di Sabah daripada 25 bahagian, 22 Ketua bahagian mencari gelanggang lain dan meninggalkan gelanggang UMNO tetapi UMNO di Sabah tidak pernah runtuh. Muncul pemimpin-pemimpin baru yang lebih muda untuk mengambil alih dan ertinya struktur UMNO itu kukuh dan teori domino tidak dapat diterjemahkan dalam konteks UMNO,” ujarnya.
Ujar beliau lagi perjuangan UMNO bukan hanya untuk mendapatkan kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) semata-mata.
“Agenda kita biarpun terasnya adalah kemelayuan, tetapi kita tidak pernah melupakan perjuangan rakan-rakan kita dalam komponen BN yang bersandarkan kepada akar dan juga umbi kaum masing-masing dan juga agama yang pelbagai. Itu hakikatnya.
“Oleh yang demikian kita melihat bahawa UMNO itu relevan dalam semua keadaan kerana ianya adalah sebuah institusi sosial Melayu dan bukan hanya sebuah parti politik. Kita lihat umpamanya dalam era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa wabak COVID-19 hari ini, kita dapat lihat kepimpinan di semua peringkat… mereka dengan segera menukar aktiviti yang dilakukan daripada aktiviti politik kepada aktiviti kebajikan. Begitu juga kita lihat di peringkat cawangan-cawangan mereka bergerak tidak lagi berlandaskan kepada aktiviti politik tetapi aktiviti sosial.
“Walaupun tidak ada peruntukan khusus daripada Ibu Pejabat UMNO untuk memberikan dana bagi pembelian bahan makanan atau barangan keperluan di bawah tetapi kepimpinan UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan negeri mengusahakan sendiri. Mungkin daripada derma ataupun menerusi NGO dan mereka bergerak… ini amat membanggakan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Tambahnya UMNO juga adalah sebuah parti yang menyesuaikan dengan situasi dalam apa juga keadaan.
“Kita ingin mengulangi dalam usia UMNO 74 tahun ahli-ahli di pelbagai peringkat harus tahu bahawa UMNO bukan hanya sebagai sebuah parti politik tetapi juga sebagai sesuatu institusi sosial kepada orang Melayu dan juga kepada semua kaum di negara kita ini,” katanya lagi. – UMNO Online
You must be logged in to post a comment.