Usul undi tidak percaya, Tun M jangan obses kuasa – Pemerhati politik
Pemerhati politik menasihatkan Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak terlalu obses terhadap kuasa semata-mata sehingga sanggup membelakangkan keutamaan yang perlu diberi tumpuan pada waktu ini, iaitu menangai wabak Covid-19.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr. Jeniri Amir menegaskan, rakyat sudah muak dengan permainan politik demi kuasa semata-mata, seterusnya membelakangi keperluan yang sepatutnya diberi perhatian.
Katanya, ia akhirnya mencetuskan risiko ketidakstabilan politik dan menjejaskan pelbagai aspek dalam pentadbiran.
Tambah beliau, usaha untuk membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang Dewan Rakyat akan datang sama sekali tidak membantu, sebaliknya hanya merumitkan keadaan untuk memerangi wabak yang penular dalam negara.
“Permainan politik harus diletakkan dibelakangkan, ketepikan, lebih-lebih lagi mereka (Pakatan Harapan) sudah puas berkuasa. Seperti Tun Mahathir tidak perlu terlalu obses dan gila kuasa, ketika rakyat mahu melhat kerajaan memberi tumpuan tangani Covid-19 dengan berkesan jadi sekarang sekarang tidak membantu (membuat usul tidak percaya).
“Kita tidak ada waktu berlakunya krisis dan ketidakstabilan politik sekali lagi ekoran usul yang dikemukakan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sehubungan itu, beliau berkata, tumpuan dan usaha kerajaan pada waktu ini untuk memastikan Covid-19 dapat dibendung dan menyelamatkan rakyat tidak wajar diganggu dengan isu politik yang sepatutnya boleh diketepikan untuk sementara waktu.
“Ahli politik kita ini perlu letak keutamaan yang betul, ini bukan masa yang sesuai untuk bermain politik, kita sedang berdepan dengan perang yang menentukan kita menang atau tidak.
“Bukan sekarang, ini bukan masa yang tepat, tidak sesuai, kita tidak boleh kalah. Jadi jangan diganggu tumpuan kerajaan dalam usaha tangani Covid-19 dengan permainan politik ini,” tambah beliau.
Jeneri berkata demikian sebagai mengulas mengenai surat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga Ahli Parlimen Semporna kepada Speaker Dewan Rakyat untuk membawa usul membuktikan bahawa Dr. Mahathir mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, sekaligus melayakkan beliau menjadi Perdana Menteri.
Walaubagaimanapun usul beliau ditolak, manakala usul yang dibawa oleh Tun M yang juga Ahli Parlimen Langkawi pula telah diterima hari ini.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof, hari ini dilaporkan berkata usul yang dikemukakan 4 Mei lalu tertakluk di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).
Beliau berkata usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) itu diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak.
Susulan pandemik Covid-19, Dewan Rakyat akan bersidang sehari pada 18 Mei ini dijangka akan membincangkan Rang Undang-Undang dan Usul Urusan Kerajaan sahaja.
Berikutan itu, tiada sesi pertanyaan jawab lisan di bawah Peraturan Mesyuarat 22(2) dan 22(5).
Menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai gila kuasa dan ‘meroyan’ kerana gagal memegang jawatan lebih lama, Jeneri berkata, rakyat berhak mempertikaikan motif yang dibawa Dr. Mahathir kerana ia dilihat konsisten ingin mengetuai pentadbiran negara ini.
Sekiranya Dr. Mahathir tidak mahu berganjak dengan pendiriannya dan masih berkeras untuk kembali menjadi Perdana Menteri, beliau disarankan untuk bersabar sehingga wabak Covid-19 tamat.
Selain itu, bekas Perdana Menteri itu juga dinasihatkan menggunakan pilihan raya akan datang untuk kembali berkuasa.
“Rakyat berhak tanya apa agenda Tun M? Tidak cukupkah dua kali jadi Perdana Menteri, sabar dahulu. Biar masalah yang kita hadapi sekarang berlalu dulu tangani dulu masalah sekarang.
“Tunggu pilihan raya lagi bagus untuk muktamadkan secara tuntas, untuk selesaikan soal kuasa secara tuntas,” menurut Jeneri yang berpendirian sidang Dewan Rakyat yang berlangsung selama sehari itu tidak patut dicemari dengan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Pada masa sama Jeneri menasihatkan semua ahli politik bijak untuk menentukan keutamaan negara.
Untuk rekod, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilantik menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac yang lalu selepas Pakatan Harapan (PH) bergolak, sekali gus menjadi titik tolak bermulanya pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Pergolakan dalaman PH yang akhirnya meruntuhkan kerajaan bermula dengan perletakan jawatan Dr. Mahathir pada 24 Febuari lalu. – MalaysiaGazette
You must be logged in to post a comment.