Tabung Covid-19 beri RM100 sehari kepada individu dikuarantin hilang pendapatan

Lebih RM40 juta berjaya dikumpulkan menerusi Tabung Covid-19 sejak ia dilancarkan pada 10 Mac lalu.

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak RM40,298,699.49 diperoleh setakat 7 Mei lalu hasil sumbangan pelbagai pihak.

Beliau berkata, setakat ini sumbangan itu diserahkan kepada 2 kategori penerima iaitu individu yang dirawat kerana positif Covid-19 atau kontak rapat kepada pesakit dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian.

Menurutnya, bagi kontak Covid-19, mereka akan diberi RM100 sehari untuk 14 hari tempoh kuarantin.

“Daripada 2 kumpulan itu yang layak memohon adalah warga Malaysia yang bekerja, tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian yang diarah kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 14 hari.

“Bagi yang bekerja, tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani rawatan di wad hospital ekoran Covid-19 juga layak untuk memohon,” katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, mereka yang berada di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak layak menerima bantuan tersebut.

Ismail Sabri berkata, bantuan khas hilang pendapatan ini diberikan kepada 94 individu dengan jumlah RM125,700.

Menurutnya, bagi bantuan ihsan kematian sebanyak RM5,000 turut diserahkan kepada semua waris mereka yang terkorban akibat Covid-19.

“Setakat ini ia sudah diberikan kepada 71 waris dengan jumlah RM355,000 dan sebanyak RM25,229,105.44 pula disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Yayasan Kebajikan Negara untuk bantuan kepada warga Malaysia yang memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata tiada individu dikesan gagal mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ketika pergerakan rentas negeri dilaksanakan semalam.

Katanya, operasi yang dijalankan pihak berkuasa semalam berjalan lancar dan pematuhan pemandu serta keluarga yang terbabit juga amat baik.

“Kita menerima laporan aliran trafik berjalan lancar, hanya 1, 2 tempat sahaja yang sesak teruk seperti di Gua Musang yang berpunca akibat sekatan jalan raya dan ia diatasi dengan baik.

“Di kawasan rawat dan rehat (RnR) juga dilihat berlaku pematuhan yang baik, walaupun pengguna menggunakan tandas, pemantauan yang dilakukan penguat kuasa mendapati ia berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 78,567 kebenaran diberikan polis menerusi aplikasi Gerak Malaysia dan sebanyak 2,220 diterima melalui borang manual.

“Pergerakan kali ini membabitkan mereka yang bukan sahaja mahu menuju ke ibu negara tetapi ke negeri lain iaitu sebagai contoh terkandas di Johor tetapi bekerja di Pulau Pinang,” katanya sambil menambah pergerakan itu akan berakhir esok.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker