600,000 hilang kerja akibat PKP
Kadar pengangguran meningkat 17.1% kepada lebih 600,000 orang pada Mac akibat kesan perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Jabatan Perangkaan hari ini.
PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu untuk membendung penularan Covid-19, menyebabkan banyak sektor dan perkhidmatan ditutup sebelum sekatan dilonggarkan secara bersyarat minggu ini.
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata, kira-kira 610,500 orang menganggur pada suku pertama 2020 berbanding 521,300 orang pada tempoh sama tahun lalu.
“Kadar pengangguran yang tertinggi ini dipengaruhi terutamanya oleh impak negatif PKP ke atas pasaran buruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Uzir berkata, kadar pengangguran tertinggi negara ialah 7.4% pada 1986.
Katanya, kadar pengangguran melonjak pada Mac lalu akibat peningkatan kepada 3.5% pada suku pertama tahun ini berbanding 3.2% pada suku keempat 2019.
“Ini merupakan kadar pengangguran tertinggi yang pernah dicatatkan sejak suku kedua 2017.”
Bilangan penganggur bagi suku pertama tahun ini meningkat 5.8% kepada 546,600 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, siswazah menyumbang sebanyak 29.3%.
“Kumpulan belia berumur 15 hingga 30 tahun mencatatkan kadar pengangguran tertinggi, iaitu 6.9% diikuti 31 hingga 45 tahun (1.4%) dan 46 hingga 64 tahun (1.1%).”
Jabatan itu berkata, pekerja separuh mahir mendominasi pasaran buruh dengan 59%, diikuti kategori mahir 27.8% dan berkemahiran rendah 13.2%.
Sementara itu, jualan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan negatif 5.7% pada Mac lalu berbanding tempoh sama 2019.
Jabatan Perangkaan berkata, ia adalah pertumbuhan terendah yang direkodkan sejak Februari 2013.
Penurunan jualan itu dipengaruhi penyusutan -15.3% dalam jualan kenderaan bermotor.
“Peruncitan merosot 6.6%, sebahagiannya akibat penurunan jualan bahan api automotif dan produk bukan keperluan.”
Antaranya jualan barangan isi rumah, peralatan komunikasi dan maklumat.
FMT