Pasca COVID-19 : UMNO Juga Perlu Bersedia Ikut Perubahan Semasa – Ahmad Maslan
Pasca pandemik COVID-19 bukan sahaja akan mengubah landskap serta pergerakan seluruh rakyat pelbagai cabang dan peringkat malah UMNO juga mungkin akan turut terkena tempiasnya setelah wabak tersebut melanda Malaysia selain seluruh dunia.
Justeru bagi Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, parti itu juga mestilah bersedia untuk berubah daripada amalan kebiasaan sebelum ini terutama apabila melibatkan soal penyampaian maklumat kepada ahli parti itu dan juga penerangan kepada rakyat.
Menurut beliau jika perniagaan dan sebagainya lagi hari ini telah berubah kepada sistem online, kepimpinan parti juga harus bersedia ke arah itu dengan lebih hebat supaya masing-masing dapat menguasai media sosial sepenuhnya bagi menyahut cabaran mendatang.
“UMNO juga tentunya berubah dari segi pergerakan dan sebelum ini kita tentu ada program-program yang melibatkan orang ramai dan sebagainya. Jadi kita kena berfikir bagaimana corak penyampaian maklumat kepada ahli kita dan juga kepada rakyat selepas ini.
“Jika perniagaan berubah kepada online, maka kita juga berubah secara online. Contohnya program kita ini…jadi kita mesti lebih kepada teknologi maklumat, mahir dalam media sosial dan itulah harapan saya kepada pemimpin UMNO kerana selepas ini suasananya cukup berubah yang mana segala maklumat diterima di tangan mereka. Jadi kalau kita tidak berupaya untuk melakukan perkara itu dan tidak menguasainya kita akan ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wawancara Khas sempena Hari UMNO ke-74 yang mengupas topik ‘UMNO & Realiti Politik Alaf Baru’ yang dihoskan oleh Datuk Dr Azizan.
Wawancara tersebut disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO Online, Selasa malam.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya menambah parti hari ini memperlihatkan kelainan yang tersendiri apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat sedikit perubahan di dalam jawatan kepimpinan.
“Baru-baru ini Presiden mengubah sedikit jawatan dalam parti dan saya Setiausaha Agung UMNO (SUA) kalangan umur pertengahan…boleh dianggap begitulah… dan kita juga ada Ketua Penerangan baharu, Shahril Hamdan yang berumur 34 tahun. Tentunya Ketua Penerangan kita ini mempunyai misi yang tertentu.
“Kita perlukan lebih ramai lagi mereka yang mempunyai pelbagai kelayakan dan sebagainya lagi termasuklah juga kombinasi orang-orang biasa dan kita kena memahami tentang itu. Kita perlukan sokongan dan dokongan daripada semua pihak.
“Baru-baru ini Penerangan UMNO mengumpulkan beberapa profesional dari kalangan doktor yang ada jawatan di dalam UMNO dan kemudiannya divideokan ..saya cukup suka melihat video berkenaan. Mereka berada di merata-rata dan masing-masing memberikan pandangan-pandangan tentang COVID-19. Ini memperlihatkan kita tidak mempunyai kekurangan mereka-mereka yang profesional di dalam parti termasuklah kalangan peguam dan sebagainya lagi berada di dalam parti,” tambahnya. – UMNO Online
Garis Panduan & Prosedur Pasca PKPB Sekolah Hanya Dikeluarkan Oleh KPM
You must be logged in to post a comment.