Muhyiddin akan dapat bertahan, PPBM tak mungkin kembali ke PH
Penganalisis politik mengecilkan kemungkinan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin akan membawa parti itu kembali ke Pakatan Harapan (PH), gabungan yang ditinggalkan sebelum membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan sokongan parti lawan.
Mereka berkata krisis Covid-19, sekurang-kurangnya buat masa ini, menyatukan parti berbeza dalam PN, walaupun terdapat kenyataan mengkritik kerajaaan daripada beberapa pemimpin Umno baru-baru ini.
Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata memang benar PPBM memerlukan gabungan untuk terus hidup, sama ada PH atau PN.
“Namun masalahnya PPBM terbahagi kepada puak Muhyiddin dan puak Dr Mahathir Mohamad,” katanya, sambil menambah parti itu nampak “lebih selesa” bersama PH.
Beliau berkata Muhyiddin tidak mungkin membawa parti itu kembali ke PH selagi gabungan itu masih mengikut Mahathir.
Timbalan Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir baru-baru ini berkata kembali bersama PH satu-satunya pilihan yang ada buat PPBM untuk terus hidup, di sebalik cadangan mendakwa pentadbiran Muhyiddin kurang mendapat sokongan daripada Umno, yang sokongannya sangat penting dalam membentuk kerjaaan baru pada Mac lalu.
Mukhriz turut mempersoalkan adakah Muhyiddin akan dipilih sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum akan datang.
Namun Azmi berkata Muhyiddin mesti mencari jalan untuk mengawal Umno atau PAS untuk terus bertahan.
Buat masa ini, katanya, cubaan merampas kuasa daripada Muhyiddin tidak mungkin berlaku kerana krisis Covid-19.
“Saya ragu-ragu Umno atau PAS akan buat sesuatu terhadap Muhyiddin memandangkan apa yang diperlukan ketika ini kerajaan yang stabil.
“Saya percaya, buat masa ini, Muhyiddin selamat.”
Sementara itu, penganalisis dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata PPBM hanya boleh bertahan sekiranya Muhyiddin dan Mahathir bersepakat.
“Jika hubungan mereka kekal dingin, PPBM akan berpecah. Muhyiddin ketika ini mesti mengukuhkan parti itu dengan membawa Mahathir dan penyokongnya bersama PN.”
Ini, katanya, antara sebab kenapa Muhyiddin perlu menjadikan PN gabungan rasmi dan memperkenalkan struktur yang dapat meneutralkan dominasi Umno dan PAS menerusi pakatan Muafakat Nasional mereka.
Kedua-dua parti Melayu terbesar itu menandatangani piagam itu tahun lalu, mengakhiri permusuhan selama beberapa dekad.
Awang Azman maklum sebilangan pemimpin tertinggi Umno mengkritik beberapa keputusan dan dasar kerajaan.
Beliau berkata Muhyiddin tidak boleh mengetepikan bekas sekutunya, termasuk “pemimpin DAP yang ikhlas” mahu membawa negara ke depan.
“Tanpa sokongan yang mencukupi, berdepan kritikan berterusan pemimpin Umno, sukar bagi PPBM dan Muhyiddin untuk bertahan.”
James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania turut menolak kemungkinan Muhyiddin akan membawa PPBM kembali ke PH, mengatakan kedudukan perdana menteri tidak benar-benar berisiko.
“Kerajaan sekarang hasil tindak balas orang Melayu terhadap Pakatan Harapan, jadi saya tidak nampak Muhyiddin akan berpatah balik kepada PH untuk membentuk kerajaan yang lebih berbilang kaum.
“Untuk kekal berkuasa, Muhyiddin hanya perlu memuaskan hati pengkritik dengan melantik mereka ke jawatan penting dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).”
Chin berkata, persoalan yang lebih besar adakah PN boleh bertahan pada pilihan raya umum akan datang berikutan masa yang singkat untuk membuat persiapan.
“Mereka mesti bekerjasama dan mengelak perpecahan, yang merupakan salah satu kegagalan terbesar PH,” katanya, sambil menambah, setakat ini, gabungan kerajaan baru itu tidak menunjukkan “perpaduan sebenar”.
FMT
You must be logged in to post a comment.