9 warga asing lari dari pusat kuarantin, kata polis

Polis Kuala Lumpur mengesahkan kejadian membabitkan 9 warga asing melarikan diri dari dari Pusat Kuarantin Covid-19 di Institut Pendidikan Guru Kampus (IPG) Bahasa Antarabangsa di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, pihaknya sebelum itu menerima 3 laporan polis dibuat penolong pegawai perubatan yang bertugas di pusat kuarantin berkenaan.

“Dalam ketiga-tiga kejadian tersebut, 6 lelaki warganegara Indonesia dan 3 lelaki warganegara Bangladesh yang bekerja sebagai buruh pembinaan didapati melarikan diri.

“Kejadian disedari sewaktu pengadu dan doktor yang bertugas membuat rondaan memeriksa pesakit yang dikuaratinkan di pusat kuarantin tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, usaha mencari warga asing berkenaan sudah dilakukan sebaik sahaja menyedari kehilangan mereka di pusat kuarantin, namun gagal untuk menemui kesemua lelaki berkenaan.

“Hasil siasatan, polis mendapati terdapat pagar yang dirosakkan dan dipercayai menjadi laluan mereka melarikan diri.

“Kesemua mereka sudah menjalani saringan Covid-19 dan didapati negative, namun perlu dikuarantin bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Mazlan berkata, polis Kuala Lumpur akan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan warga asing berkenaan, selain memastikan kawalan di pusat kuarantin terus dipertingkatkan dengan menambah lebih ramai anggota polis.

“Kawasan pagar dirosakkan dan dipercayai menjadi laluan warganegara asing tersebut melarikan diri turut dipasang ‘concertina barb wire’ dan lampu bagi mengelakkan individu dikuarantin melarikan diri,” katanya.

Menurut Mazlan, kes disiasat bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 (Akta 342).

“Orang ramai diminta tidak panik dan terus mengamalkan langkah pencegahan yang disarankan oleh KKM dalam menghadapi ancaman jangkitan Covid-19 ini,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker