Jumlah ansuran bulanan pinjaman sewa beli tak berubah, umum menteri

Kerajaan hari ini mengumumkan jumlah ansuran bulanan pinjaman bagi peminjam sewa beli konvensional dan syariah tidak akan berubah sepanjang tempoh pembiayaan.

Ini juga bermakna tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan sewaktu tempoh moratorium.

“Peminjam akan perlu menyambung pembayaran ansuran seperti biasa berdasarkan terma-terma perjanjian dengan bank masing-masing, termasuk tambahan 6 bulan bagi keseluruhan jadual pembiayaan jika memilih untuk memanfaatkan moratorium tersebut,” kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini.

Perkembangan ini menyusuli saranan kerajaan kepada industri perbankan mengenai pelupusan caj tambahan ke atas ansuran bagi pinjaman sewa beli.

Tengku Zafrul mengumumkan Kementerian Kewangan dan industri perbankan mencapai kata sepakat berhubung perkara itu.

“Maklumat lanjut boleh didapati daripada bank masing-masing.

“Kerajaan berharap keputusan ini akan dapat meringankan beban rakyat dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya.

Tengku Zafrul pada 2 Mei menggesa institusi kewangan yang terlibat dalam moratarium mempertimbangkan untuk melupuskan kaedah faedah pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap, selepas rakyat mempertikaikan perkara berkenaan.

Beliau akui memang terdapat bank yang menawarkan moratorium pinjaman tanpa mengenakan faedah terakru atau faedah dikompaun atas pinjaman, namun ia tidak merangkumi semua produk pinjaman.

“Setiap bank pula ambil pendekatan tersendiri dalam hal mengenakan faedah sewaktu tempoh moratorium,” katanya ketika itu.

Ia sehari selepas Bank Negara menegaskan tiada perubahan dalam dasar moratorium 6 bulan ke atas pembayaran balik pinjaman sewa beli dan pembiayaan berkadat tetap Islam, susulan kekeliruan dalam kalangan orang awam mengenai pengumumannya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker