Tak perlu terburu-buru, Noor Hisham beritahu perniagaan
Tidak perlu terburu-buru menjalankan operasi penuh perniagaan apabila sekatan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan bermula Isnin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, Noor Hisham menasihati perniagaan menggunakan minggu pertama bekerja untuk “mengatur strategi, merancang dan melaksanakan (perubahan prosedur) dan tidak semestinya terus beroperasi sepenuhnya”.
Beliau berkata, mereka harus mengambil masa untuk merancang dan mengambil langkah perlu bagi mematuhi prosedur standard sektor perniagaan masing-masing selain mengikut norma baru di tempat kerja.
“Majikan perlu memastikan semua pekerja mematuhi jarak sosial, terutama dalam ruang terhad.
“Anda mungkin perlu menyusun semula ruang pejabat bagi menjadikannya lebih luas dan selamat, kerap mensanitasi ruang awam seperti pantri atau surau dan hanya membenarkan bilangan orang yang terhad untuk berkumpul dalam sesuatu ruang pada satu-satu masa bagi memastikan jarak sosial yang selamat,” katanya.
Beliau berkata, garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah jelas dan menjadi tanggungjawab majikan untuk melaksanakannya.
Dr Noor Hisham Abdullah.
“Ini adalah tanggungjawab sosial dan kita memerlukan disiplin serta kepatuhan sosial untuk menghayati dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Kita harus menyesuaikan diri dengan norma baru.
“Dunia tidak akan sama lagi. Kita perlu faham bahawa tindakan setiap individu memberi kesan ke atas cara kita menangani Covid-19 dalam masyarakat. Kita harus berubah, menyesuaikan diri dan menerima norma baru itu dalam kehidupan.
“Walaupun Malaysia berjaya menghindari bencana, namun perang menentang Covid-19 belum berakhir.
“Minggu depan kita akan berdepan medan perang baru dengan pelaksanaan strategi baru,” katanya.
Noor Hisham menggesa orang ramai supaya “saling membantu dan memastikan orang dikasihi, terutama mereka yang terdedah kepada risiko, selamat. Mari kita pastikan Malaysia selamat.”
FMT
You must be logged in to post a comment.