COVID-19: Pegawai AS sahkan enam gejala baharu dikesan pada pesakit

PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan tambahan enam gejala COVID-19 yang baharu, seiring dengan pemahaman lebih mendalam pakar kesihatan mengenai virus berkenaan.

Gejala terbabit adalah menggigil; getaran tubuh secara berulang serentak dengan menggigil; sakit otot; sakit kepala; sakit tekak dan kehilangan deria rasa atau bau.

Semua gejala ini biasanya muncul dua hingga 14 hari setelah pesakit terdedah kepada virus berkenaan.

Sebelum ini, CDC hanya menyenaraikan tiga gejala yang diketahui iaitu sesak nafas, batuk dan demam.
Bekas pemangku Pengarah Jabatan Pandemik dan Ancaman AS, Mario Ramirez, memberitahu Washington Post, gejala sesuatu penyakit termasuk COVID-19 dan influenza biasa, boleh berubah seiring perubahan masa.

Beliau berkata, berdasarkan data dan maklumat daripada rawatan pesakit tempatan dan seluruh dunia, CDC dapat menyatakan dengan yakin, enam gejala terbabit adalah gejala COVID-19.

Ramirez, berkata trend mengenai gejala tempatan dan data dari negara lain membolehkan CDC mengenal pasti atau menyenarai pendek segmen populasi yang tepat untuk diuji.

“Kita tidak mahu menyenaraikan dua puluh gejala, terutama jika separuh penduduk mempunyai gejala tersebut.

“Kita akan cuba menyeimbangkan sasaran orang yang tepat untuk diuji, jadi ia mesti spesifik,” kata Ramirez.

Penambahan tersebut mengesahkan maklumat yang dilaporkan oleh pesakit dan doktor selama beberapa minggu sebelum ini.

Antaranya adalah kehilangan rasa atau bau yang telah dilaporkan oleh sekumpulan doktor telinga, hidung dan tekak Britain pada pertengahan Mac, ketika banyak pihak berasakan gejala itu mungkin tanda awal seseorang dijangkiti COVID-19.

Satu kajian terhadap pesakit COVID-19 di Eropah turut mendapati antara 85.6 hingga 88 peratus pesakit mengalami gejala hilang deria rasa dan bau.

Dalam satu kajian di Iran, 76 peratus pesakit COVID-19 yang melaporkan kehilangan bau memberitahu ia berlaku secara tiba-tiba sebelum gejala lain muncul.

Sementara itu, meskipun tidak disenaraikan di laman web CDC, keletihan melampau juga dilaporkan dialami oleh pesakit sebelum mereka disahkan positif COVID-19.

Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker