Hidup susah sara 9 anak, 4 cacat, tanpa punca pendapatan

Dengan 9 anak yang perlu dijaga, 4 daripadanya cacat, hidup sudah sedia sukar bagi bekas pembantu jururawat Suhaily Ramli ketika krisis Covid-19 menyebabkan suaminya yang berniaga di pasar malam hilang punca pendapatan.

Suhaily, 44, suaminya yang berusia 48 tahun, dan anak mereka yang berusia antara setahun hingga 22 tahun, tinggal di sebuah rumah pangsa kecil di projek perumahan rakyat (PPR) di Kota Damansara.

Anak sulungnya yang berusia 22 tahun, terlibat dalam kemalangan motosikal 4 tahun lalu. “Kini dia bernafas menerusi tiub dari lehernya.” Untuk menjaga anaknya itu, Suhaily melepaskan kerjayanya sebagai pembantu jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan keluarga itu bergantung pada pendapatan suaminya.

Dua anak perempuannya berusia 21 dan 18 tahun, kedua-duanya menghidap gangguan belajar, sementara anak perempuannya yang berusia 3 tahun dilahirkan dengan gangguan genetik Sindrom Down.

“Kehidupan amat sukar untuk kami,” katanya. “Sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP), saya bantu suami di pasar malam, jual sarung kaki anti-bau yang diperbuat daripada buluh, berharga RM20 setiap 3 pasang. Pada mulanya, memang laku dan ramai yang mahu membelinya, tapi lama kelamaan, jualan semakin berkurangan.

Dua cuba menjual barangan itu secara dalam talian, namun kos pengeposan mengurangkan margin dan menyebabkan perniagaan itu tidak menguntungkan.

Anak perempuan Suhaily Ramli berkongsi bilik.
Terpaksa menjaga 4 anak yang kurang upaya ketika tempoh berkurung bawah PKP benar-benar meletihkan Suhaily.

“Anak saya yang mengalami Sindrom Down tidak faham kenapa kami tak boleh keluar rumah.” Sebelum ini, Suhaily akan membawanya keluar 3 hari seminggu. “Sekarang dia tidak boleh keluar, dia seperti tertekan. Dia selalu meronta dan menangis. Saya dah tak larat.”

Dengan hanya 3 bilik di rumah mereka, anak-anaknya tidur atas tilam di lantai. “Beberapa orang dalam 1 bilik, dan beberapa lagi tidur di luar”.

Berikutan sekolah ditutup, anak-anaknya yang lain ketinggalan dalam pelajaran. “Tidak ada pembelajaran dalam talian untuk mereka. Mereka duduk di rumah dan saya suruh mereka baca buku. Kita nak beli internet pun tak mampu, buat sendiri pun tak pandai,” katanya.

Ruang tamu rumah pangsa Suhaily Ramli.
Suhaily berkata wang yang diterima menerusi Bantuan Sara Hidup yang diberikan kerajaan dibelanjakan untuk barang keperluan lain.

Beliau berkata keluarganya bergantung pada bantuan makanan menerusi agihan zakat atau jiran yang prihatin. Pihak zakat menyediakan 3 kampit beras dan gula, katanya.

“Makan mewah takde lah, Kita hanya mampu beli sardin dalam tin. Tetapi makan sardin setiap hari – anak-anak saya pun muak,” katanya. Keluarga itu tidak mampu membeli makanan lain.

Ketika berdepan pelbagai cabaran, Suhaily terus bersabar. “Tak banyak yang boleh dilakukan,” katanya. “Kena sabar, biasalah dengan PKP ini, ramai orang buntu sekarang. Kalau ada 1 atau 2 anak, boleh lah urus, tapi kalau ramai…faham-faham saja lah.”

Selepas beberapa hari memasuki Ramadan, dan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelma sebulan lagi, Suhaily berharap ada pihak yang sudi mendermakan pakaian untuk anak-anaknya.

“Tahun lepas, kami dapat pergi ke pasar, ada juga lah baju untuk ditukar. Tetapi tidak kali ini. Saya rasa sangat bersalah kerana tidak mampu menyediakan baju raya.”

Mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh memberikan sumbangan ke akaun Maybank 112026627061 (Suhaily binti Ramli).

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker