Pentadbiran lepas gagal kekang Covid-19 kluster tabligh lebih awal, kata Adham

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini mendakwa pentadbiran sebelum ini gagal mengawal penularan wabak Covid-19, khususnya melibatkan kluster jemaah tabligh yang menurutnya menjadi kluster terbesar di seluruh negara.

Adham berkata, sekiranya pentadbiran lepas mengawal penularan wabak ini dengan lebih baik ketika itu, beliau percaya kes membabitkan wabak Covid-19 di negara ini hanya akan terdiri daripada kluster kecil sahaja.

“Pada 10 Mac lalu, kita sudah ada satu kluster baru, yang kerajaan sebelum ini tidak dapat bendung iaitu kluster tabligh. Ia berlaku pada 27 Feb hingga 3 Mac. Ia sungguh besar hingga sampai ke hari ini masih tidak dapat hentikan penularannya.

“Masih ada kes dari kluster tabligh yang menjangkiti hingga ke kluster ke-5. Kalau kluster tabligh ini dihalang daripada awal, gelombang kedua tidak akan berlaku.

“Kita mungkin hanya akan ada kes dari kluster kecil,” katanya dalam telesidang bersama presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi hari ini, merujuk kepada himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur yang dilaporkan melibatkan lebih 14,000 peserta.

Pada 24 hingga 29 Feb, pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat berfungsi selepas Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. Ketika itu, negara hanya dipimpin oleh beliau sebagai perdana menteri interim.

Muhyiddin Yassin pula mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 di bawah kerajaan Perikatan Nasional pada 1 Mac. Manakala, anggota Kabinet baru, termasuk Adham yang dilantik sebagai menteri kesihatan mengangkat sumpah pada 10 Mac.

Kerajaan mula menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 pada 18 Mac, dan kini memasuki fasa ke-3 sehingga 28 April depan.

Dalam telesidang itu, Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Adham dan pasukannya di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menurutnya setakat ini berjaya mengekang penularan wabak berkenaan daripada terus merebak.

Adham pada masa sama turut memaklumkan mengenai usaha yang dilakukannya bagi mengekang wabak berkenaan, termasuk bertindak mewartakan 40 buah hospital yang digunakan khusus untuk tujuan merawat pesakit Covid-19.

“Saya yakin apa yang dibuat sudah diiktiraf dunia. Saya sudah mengadakan sidang video bersama-sama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan 500 negara yang lain.

“Kemudian, saya secara langsung dengan menteri kesihatan China, Singapura dan menteri-menteri Asean serta dengan perdana menteri Korea Selatan, Jepun dan China.

“Saya yakin media sosial dan konvesional membantu usaha hari ini dan tagline saya adalah “Kita Mesti Menang”,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker