Ekonomi makin lemah jika PKP dilanjutkan – pakar
Tidak banyak perubahan yang berlaku terhadap perniagaan atau syarikat-syarikat kecil jika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan, malah ia akan melemahkan ekonomi negara.
Menurut penganalisis ekonomi Prof Barjoyai Bardai, selain hampir semua sektor terjejas, sektor perusahaan kecil juga kini hampir lumpuh akibat krisis Covid-19.
“Sektor (perusahaan) sederhana kecil (PKS), perniagaan sederhana saja yang tinggal, perniagaan kecil juga sudah hampir lumpuh.
“Maknanya ekonomi jadi semakin lemah kalau kita melanjutkan tempoh PKP.
“Kalau tambah dua minggu atau satu bulan lagi, keadaannya tidaklah banyak berubah, semakin teruk maknanya. Cuma usaha untuk memulihkannya nanti akan menjadi semakin susah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Status sama ada PKP dilanjutkan atau ditamatkan akan diketahui pada 10 April ini. PKP fasa kedua sepatutnya berakhir pada 14 April ini.
Hikmah pada yang berani mencuba
Dalam tempoh ini, orang ramai juga perlu mengamalkan penjarakan sosial dengan jarak 1 meter apabila keluar rumah.
Oleh itu Barjoyai yang juga pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak berkata, dengan amalan baru ini, negara bakal menyaksikan usahawan kecil sudah mula belajar untuk hidup dalam lingkungan penjarakan sosial dengan memikirkan cara untuk meneruskan kelangsungan hidup melalui atas talian.
“Contohnya petani-petani yang memetik hasil tanaman sudah memikirkan macam mana nak jual terus kepada pengguna melalui online (atas talian), nelayan-nelayan di Kedah misalnya pun sudah belajar bagaimana nak jual secara online.
“Jadi saya rasa kalau ditambah lagi dalam satu bulan, mungkin di akhir tempoh itu kita tengok kebanyakan daripada peniaga-peniaga ini sudah stabil dalam perniagaan online pula.
“Jadi maknanya ini akan menjadi satu hikmah. Tapi ia hanya untuk golongan yang berani dan inovatif sedikit kerana ada juga kumpulan-kumpulan yang masih menunggu mengharapkans sesuatu yang lain akan berlaku,” katanya.
Pada awal fasa kedua PKP, turut dilaporkan kedai dalam talian seperti Lazada juga menawarkan sayur-sayuran yang dipetik dari ladang di Cameron Highlands dengan harga RM29 satu set, dan semua pesanan yang dibuat sebelum 12 tengah hari akan dihantar antara pukul 3.00 petang ke 8.00 malam keesokan harinya.
Tambahnya, selepas tempoh PKP, negara juga akan melihat orang ramai akan mula menjadi selesa membeli barangan keperluan secara atas talian.
Yang hilang kerja akan mula kerja sendiri
Pada masa sama, beliau berkata meskipun kesan PKP ini akan menyaksikan pengangguran sehingga dua juta, tetapi kumpulan tersebut akan mampu berdikari dalam tempoh yang cepat untuk menjana pendapatan mereka.
“Itu akan beri kejutan baru tapi dalam masa yang cepat, kumpulan yang menganggur ni akan adopt (mengambil) satu gaya baru, (di mana) mereka akan mula menjadi usahawan, bekerja sendiri.
“Jadi mereka akan menjadi self-employed (bekerja sendiri) dalam ekonomi dan mereka tidak akan mengharapkan lagi kerja baru,” katanya.
Sebelum ini, kajian dari Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan seramai 2.4 juta orang di negara ini akan kehilangan kerja berikutan wabak Covid-19.
Kira-kira 67 peratus daripada jumlah itu membabitkan pekerja tidak mahir dan kebanyakannya tidak mempunyai pendapatan tetap.
Sementara itu, Barjoyai berkata bagi syarikat-syarikat dan institusi pengajian juga sudah mula memikirkan cara penjimatan kos dalam menghadapi PKP ini.
Antaranya pekerja tidak perlu hadir ke pejabat setiap hari tetapi hanya ke pejabat untuk urusan yang berkait dengan tugasan mereka (job specification).
“Gajinya mungkin kecil tapi kualiti hidupnya mungkin lebih baik kerana dia hanya bekerja untuk waktu kerja yang tertentu dengan pendapatan yang lebih tinggi secara rate basis, per hour (kadar jam bekerja), misalnya,” katanya.
Mkini
You must be logged in to post a comment.