Hukum pengingkar PKP bayar kompaun langkah baik, kata peguam

Peguam mengalu-alukan langkah kerajaan untuk mengeluarkan notis kompaun ke atas individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan berkata, ia akan meringankan beban kerja polis dan juga mahkamah, selain mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19.

A Srimurugan berkata, polis tidak lagi perlu merekodkan kenyataan dan membawa suspek ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman.

“Tidak akan keperluan untuk menahan suspek di lokap polis sebelum didakwa di mahkamah dan dihantar ke penjara,” katanya.

“Risiko suspek, pegawai polis dan warden penjara dan pesalah dijangkiti dapat dikurangkan secara drastik.”

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Acryl Sani Abdullah Sani berkata semalam, polis akan mula mengeluarkan notis saman RM1,000 kepada mereka yang melanggar PKP.

Beliau berkata, notis kompaun itu perlu dibayar di mana-mana pejabat Kementerian Kesihatan dalam tempoh 2 minggu.

“Mereka yang mengingkari PKP akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan notis kompaun,” katanya.

Mereka yang terus enggan membayar kompaun akan dibawa ke mahkamah.

Peguam M Visnanathan bersetuju bahawa membawa pesalah ke balai polis adalah berlawanan dengan perintah penjarakan sosial.

Beliau berkata, pesalah harus diberikan notis kompaun di tempat kejadian sama seperti tindakan polis mengeluarkan saman trafik.

Bagaimanapun katanya, denda RM1,000 itu agak tinggi, terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.

“Alternatif lain seperti perintah khidmat masyarakat selepas tamat tempoh PKP patut ditimbangkan,” katanya.

Peguam Alliff Benjamin Suhaimi berkata, mengeluarkan notis kompaun kepada pengingkar PKP boleh membantu meringankan beban kerja polis, yang menurutnya, kini terbeban dengan kerja.

Beliau juga menyuarakan harapan agar jumlah tangkapan sebelum ini sudah mencukupi untuk menghalang orang ramai daripada ingkar PKP.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker