Usaha Kerajaan Tangani COVID-19 Tidak Harus Diperlekeh – Dr Najmil
Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata tidak perlu mana-mana pihak untuk memperlekehkan sebarang usaha yang diambil oleh kerajaan dalam usaha memerangi COVID-19 hari ini.
Tegas beliau apatah lagi cuba mencipta kebencian dan bermain politik sebaliknya perlu sama-sama ke depan agar wabak berkenaan tidak terus-menerus menghimpit rakyat dan negara ini.
“Usaha ini perlu disokong oleh seluruh rakyat Malaysia bukannya mengecam atau mengkritik tindakan kerajaan kerana ini bukannya masa untuk berpolitik atau mencipta kebencian.
“Kita perlu bersatu untuk memastikan Malaysia menang dalam memerangi COVID-19 ini. Bersyukur jauh lebih baik daripada mengeluh,” katanya menerusi catatan di facebook.
Beliau seterusnya mengajak rakyat untuk sama-sama bersyukur dengan apa yang dinikmati hari ini dan beliau turut memgambil contoh negara luar yang kurang membangun.
Bayangkan katanya jika negara berada di taraf negara kurang membangun atau ‘least developed countries’ (LDC) seperti di rantau Sub Sahara.
“Bagaimana kita nak melawan COVID-19. Negara seperti Zambia hanya mampu menyediakan 1 doktor untuk 10,000 rakyatnya. Kemudahan perubatan juga terbatas seperti di Mali hanya tersedia 3 ventilators untuk 1 juta penduduk.
“Itu belum lagi dalam aspek kemudahan fasiliti perubatan seperti hospital dan sebagainya. Rata-rata negara LDC ini terperangkap dengan hutang yang tinggi serta wujudnya jurang pendapatan sosial yang begitu ketara. Bagaimanakah kehidupan seharian mereka di sana? Sudah tentu menyayat hati.
“Kita di Malaysia perlulah sentiasa bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang stabil, cekap dan prihatin. Kerajaan telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi COVID-19,” ujarnya.
Pada masa yang sama, ujar beliau lagi hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat dan RM100 bilion untuk menyokong perniagaan kini, seramai 645 pesakit atau 22.2 peratus telah sembuh dan discaj hospital dalam tempoh 2 minggu ini dan adalah satu kejayaan bagi Malaysia. – UMNO Online
You must be logged in to post a comment.