Kakitangan syarikat penerbangan bimbang 3 bulan cuti tanpa gaji

Awal bulan lalu, Luke (bukan nama sebenar) mendapat satu e-mel daripada Jabatan Sumber Manusia syarikat penerbangannya yang memintanya membenarkan pengurangan gaji sebanyak 50% untuk bulan itu.

Memandangkan Luke dan isterinya memperoleh pendapatan kira-kira RM10,000, beliau dapat bertahan dengan potongan gaji itu. Lantas dia bersetuju kerana tahu langkah itu dapat membantu syarikat melalui tempoh sukar.

Kini, kira-kira 20 hari kemudian, Luke menggunakan jenama susu dan lampin pakai buang lebih murah untuk anaknya kerana ada kemungkinan beliau tiada pendapatan untuk 3 bulan akan datang.

Pengorbanan yang sepatutnya hanya 2 minggu mungkin menjadi cuti tanpa gaji selama 3 bulan kerana syarikatnya terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) dan peningkatan sekatan penerbangan antarabangsa.

Industri penerbangan terjejas teruk akibat Covid-19 dan syarikat penerbangan menggalakkan pekerja mereka mengambil cuti tanpa gaji.

Malaysia Airlines dilaporkan mengambil langkah itu, seperti Singapura Airlines, Cathay Pacific dan British Airways.

“Kami mendapat memo seminggu lalu mengatakan syarikat hanya memerlukan sekitar 15% tenaga kerja,” kata Luke kepada FMT.

“Semua orang dijangka meneruskan cuti tanpa gaji selama 3 bulan dan ia boleh dilanjutkan hingga akhir tahun ini.”

Beliau tidak termasuk dalam golongan 15% itu. Lebih teruk apabila isterinya yang meraih pendapatan lebih kecil daripadanya, turut dipotong gaji sebanyak 50% kerana syarikatnya berdepan masalah aliran tunai.

Beliau tertanya-tanya berapa lama keluarganya dapat bertahan.

“Tiga bulan berikutnya tidak menentu untuk keluarga saya. Kami menyewa rumah yang kami duduki sekarang. Jadi, moratorium pinjaman bank tidak terpakai ke atas kami. Saya masih berunding dengan tuan rumah untuk mengurangkan sewa sebanyak 50%.

“Ibu bapa saya yang berusia tinggal bersama kami. Saya anak tunggal mereka, jadi saya turut menyara mereka.”

Luke berkata, sebahagian rakannya mencadangkan syarikat membenarkan mereka terus bekerja dengan gaji 50% supaya mereka boleh membayar bil.

Tetapi, katanya, setakat ini tiada sebarang berita berhubung cadangan itu dan bulan depan beliau tiada pendapatan.

Beliau mengurangkan bayaran perkhidmatan yang digunakan seperti pakej telefon bimbit dan internet, serta berhenti memberi elaun kepada ibu bapa dan mertuanya.

Satu-satunya perkara yang melegakan Luke ialah pinjaman keretanya sudah habis dibayar.

“Tetapi, isteri saya berjalan jauh untuk bekerja. Beliau memandu dari KL ke Sepang setiap hari. Jika berlaku sebarang kerosakan serius, saya tidak tahu dari mana hendak mendapat wang untuk membaikinya.”

Luke berharap kerajaan mencari jalan bagi membantu golongan sepertinya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker