Peraturan baru PKP akan jejas klinik swasta, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan lebih banyak sekatan terhadap perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk memerangi Covid-19.

Tetapi, Presidennya, Dr N Ganabaskaran bimbang mengenai impak sekatan baru itu, termasuk pergerakan dan waktu operasi klinik swasta.

“Ia baik untuk menyekat pergerakan kerana kes Covid-19 tidak berkurangan dan kita dapat melihat masih ramai tidak duduk di rumah. Mereka boleh menyebarkan virus itu.

“Tetapi, ini akan menjejaskan klinik swasta. Mereka sudah mengalami kemerosotan kira-kira 70% dalam perniagaan sejak permulaan PKP dan kita bimbang ramai yang terpaksa tutup kedai,” katanya kepada FMT.

Dr N Ganabaskaran
Ganabaskaran berharap kerajaan akan mengkaji langkah untuk membantu doktor klinik swasta yang turut memerangi penularan itu bersama pengamal sektor kesihatan awam.

Katanya, doktor klinik swasta memainkan peranan penting dalam menyediakan penjagaan kesihatan utama kepada rakyat setiap hari dan mereka dibebani beberapa isu lain selama bertahun-tahun, termasuk pembatalan kawal selia yuran.

Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin berkata, mengehadkan waktu operasi dari 8 pagi hingga 8 malam tidak menjadi masalah kerana kebanyakan pasar raya ditutup lebih awal sekarang.

“Pasar raya kami di Subang Jaya ditutup pada 11 malam kerana ia besar dan memenuhi keperluan ramai, tetapi ia tidak menjadi masalah untuk tutup lebih awal.”

Kebimbangan utamanya ialah kenderaan swasta tidak sepatutnya berada di jalan raya selepas 10 malam dan ini akan menjejaskan pekerjanya.

“Jika kita berhenti benarkan orang masuk pada 8 malam, masih ada isu pembeli yang akan keluar dari pasar raya. Ada barisan panjang di kaunter bayaran yang akan mengambil masa sehingga sejam setengah untuk selesai.”

Katanya, pembersihan dan penyimpanan makanan tidak terjual mengambil masa sejam lagi yang bermakna jika mereka perlu tutup pada 8 malam, pekerja hanya boleh pulang kira-kira 10 malam.

“Saya tidak mahu pekerja saya dihentikan polis, jadi kami perlu menutup kedai pada 6 petang supaya semua orang boleh sampai di rumah menjelang 10 malam.”

Ameer turut mengeluh keputusan kerajaan menurunkan harga siling topeng daripada RM2 kepada RM1.50 yang akan menjejaskan peniaga yang mempunyai stok dibeli pada harga RM1.70 hingga RM1.80 ketika harga siling ialah RM2.

Sekarang, katanya, peniaga terpaksa menjual topeng itu pada harga lebih rendah daripada apa yang mereka bayar sebelum ini.

Pengasas bersama DeliverEat, Tan Suan Sear berkata waktu operasi 8 pagi hingga 8 malam untuk khidmat penghantaran makanan tidak menjadi masalah kerana mereka sudah mengubah waktu operasi sebelum ini.

“Di Pulau Pinang, kedai perlu ditutup pada 8 malam dan kita beroperasi di sana, jadi kami akan menyeragamkan operasi kami di KL juga. Kami rasakan ia lebih baik untuk kesihatan dan keselamatan penghantar kami.”

Beliau berkata, syarikatnya sudah menasihatkan pelanggan memesan makanan lebih awal untuk mengelakkan semua orang membuat pesanan pada waktu puncak.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker