Anwar mahu pakej rangsangan dibahas di Parlimen
Presiden PKR, Anwar Ibrahim gembira dengan pakej rangsangan ekonomi terbaru berjumlah RM250 bilion untuk memerangi Covid-19, tetapi mahu ia diperhalusi di Parlimen.
Beliau berkata, ini bagi memastikan tiada kerugian atau ketirisan dan dana untuk golongan memerlukan itu diuruskan “orang jujur” yang mempunyai rekod bersih.
Katanya, di negara maju, pakej rangsangan ekonomi dibentangkan di Parlimen supaya ia dipantau, termasuk membincangkan bagaimana dana itu akan diperolehi dan hutang dilangsaikan.
“Persoalannya adakah wang itu akan sampai (kepada rakyat yang memerlukannya)? Adakah pembaziran atau ketirisan atau rompakan kecil-kecilan akan berlaku?
“Dana itu tidak patut dikendalikan ahli politik atau mereka yang mempunyai rekod buruk,” kata bekas menteri kewangan itu dalam video yang dimuat naik ke Facebooknya hari ini.
Anwar memuji pakej rangsangan yang menyediakan peruntukan besar kepada Kementerian Kesihatan sebanyak RM1 bilion dan insentif lain untuk petugas barisan depan seperti petugas kesihatan dan pasukan keselamatan.
Beliau berkata, ramai yang kecewa dengan secebis pakej rangsangan terdahulu yang disifatkannya dirangka secara tergesa-gesa dan tidak meliputi semua aspek.
Anwar berkata moratorium 6 bulan untuk pembayaran pinjaman juga dialu-alukan tetapi merasakan pembayaran kadar faedah tertangguh boleh dihapuskan.
“Bayangkan perniagaan yang mengalami kerugian. Selepas 6 bulan, mereka perlu membayar tunggakan pinjaman dengan faedah tambahan. Bank Negara mesti melakukan sesuatu untuk menghapuskan faedah dalam tempoh ini.”
Petang tadi, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat bagi mengurangkan kesan Covid-19 yang jumlahnya 10 kali ganda lebih banyak berbanding RM20 bilion yang disediakan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad bulan lalu.
Pakej terbaru itu terdiri daripada RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi perniagaan dan PKS serta RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi negara, selain RM20 bilion yang diumumkan dalam pakej terdahulu.
FMT
You must be logged in to post a comment.