Uji Covid-19 hanya 8 minit guna pandu lalu

Share

“Pandu lalu” ujian Covid-19 di Hospital Pakar KPJ Damansara membantu rakyat negara ini mendapatkan pemeriksaan saringan virus itu hanya dalam masa 8 minit.

Walaupun terdapat kemudahan penjagaan kesihatan lain di negara ini yang menawarkan pemeriksaan Covid-19 secara pandu lalu, KPJ Damansara berkata ia adalah satu-satunya saringan yang tidak memerlukan temujanji.

Walaupun ujian saringan tanpa temu janji boleh mengambil masa sehingga 20 minit, namun ia mengambil masa sekitar 8 hingga 10 minit untuk menguji setiap pesakit di laluan itu, dengan keputusan yang dijangka siap dalam masa 24 jam.

Kira-kira 60 orang melakukan ujian saringan ketika laluan pandu lalu itu dibuka semalam, dan KPJ Damansara menyaring lebih 1,200 pelanggan tanpa temujanji sejak 2 Mac.

“Matlamat pandu lalu ini adalah mengurangkan kontak dengan orang lain dan menjadikannya mudah bagi orang ramai menjalankan ujian saringan,” kata Dr Nur Abdul Karim, perunding pakar kecemasan dan ketua Perkhidmatan Kemalangan & Kecemasan di KPJ Damansara.

Seorang wanita menjalani ujian saringan Covid-19.
“Kami mengikut model Korea Selatan untuk menyaring semua orang. Uji, uji, uji – dan kemudian uji lagi. Dengan menyaring semua orang, kita dapat mengesan kes positif lebih awal dan membantu meminimumkan penyebaran Covid-19.

“Ini saringan yang sama digunakan di hospital lain dan ia disahkan Kementerian Kesihatan sebagai ‘standard emas’,” katanya.

Laluan pandu lalu itu dibahagikan kepada 2 stesen.

Stesen pertama dikhaskan untuk pendaftaran dan bayaran serta bacaan suhu badan, oksigen dan bacaan nadi.

Stesen ke-2 disediakan untuk saringan Covid-19, terdiri daripada nasopharyngeal (hidung) dan oropharyngeal (tekak). Pelanggan kemudian diberikan perundingan dan akan menjawab pertanyaan mereka.

Dr Nur Abdul Karim
Saringan pandu lalu dijalankan dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dari Isnin hingga Sabtu.

Nur berkata hospital itu sedang mempertimbangkan untuk memperluas operasi laluan pandu lalu itu tetapi berusaha mengelak daripada membebankan kakitangannya.

“Kami tidak mahu membebankan kakitangan kami sehingga menyebabkan tekanan,” katanya.

“Kami perlu melakukan dokumentasi yang betul untuk setiap saringan dan menyerahkan dokumen ke pejabat kesihatan daerah. Kami juga perlu menyahjangkit stesen saringan dengan betul – dan semua itu mengambil masa.

“Ia juga bergantung kepada kapasiti makmal kami untuk melakukan saringan ini. Setakat ini, saya gembira kerana makmal kami sangat konsisten dan kami dapat menyediakan keputusan dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Seorang pelanggan yang ditemubual FMT berkata sebab utama dia memilih untuk menjalani ujian saringan di situ kerana ia lebih cepat selain kemudahan yang ditawarkan.

“Saya demam semalam, jadi saya ambil keputusan datang ke sini dan menjalani saringan. Lebih mudah dan cepat dengan cara ini kerana saya tidak perlu berada di hospital yang sesak,” kata Chong Tat Lin.

FMT

Leave a Reply