Fokus Agenda Muafakat Nasional, Jangan Tiru PH Yang Ego, Sombong – Annuar
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyeru semua ahli khususnya para pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) untuk terus fokus kepada aganda asal tanpa ada rasa ego dan sombong ekoran perkembangan tampuk pentadbiran kerajaan yang telah bertukar.
Katanya, jangan tiru tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menjadi ego dan sombong setelah mendapat kuasa.
“Saya menyeru ahli dan pimpinan UMNO/BN dan MN semua peringkat agar tidak terlalu gembira dengan apa yang sedang berlaku sehingga hilang fokus. Jangan tiru PH yang dulunya menjadi ego dan sombong dengan kuasa, menuduh dan menghina dengan sewenang-wenang, guna kuasa untuk kezaliman, memungkiri janji dengan rakyat,” katanya menerusi ciapan dalam Twitternya, hari ini.
Katanya lagi, MN harus terus murni dan mendahulukan rakyat.
“Baiki kesilapan. Usah mengejar jawatan dan tinggalkan asas perjuangan. Tumpu pada agenda dan Piagam MN, negara perlukan penyelesaian mutlak… kita belum kemana-mana. Kekalkan keamanan dan kestabilan, teguhkan perjuangan MN,” tegas beliau lagi.
Dilaporkan MN membentuk kerajaan selepas menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ekoran tumbangnya kerajaan PH pada 24 Feb lalu akibat pertelingkahan dalaman mereka sendiri yang membawa kepada kemelut politik.
MN yang ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 14 Sept lalu berpegang teguh kepada Piagam bersama yang antaranya ialah membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia dengan menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, menjamin pembentukan negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara. – UMNO Online
You must be logged in to post a comment.