Berilah peluang kepada Muhyiddin, kata Najib

Sudah tiba masanya untuk berhenti ‘berpolitik’ sebaliknya memberi peluang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri bagi mengemudi negara ketika ini.

Itu luahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kemelut yang seolah-olah tidak berkesudahan dengan pelantikan Muhyiddin oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada Sabtu lepas.

Malah Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan juga merasakan isu bilangan sokongan majoriti wakil rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional juga tidak menjadi soal.

“Kita percaya kita ada angka yang cukup. Tidak ada persoalan itu lagi.

“Apa yang lebih penting, pada masa ini sebenarnya mengembalikan kestabilan ekonomi selain keyakinan rakyat kepada kerajaan kini. Itu lebih penting,” katanya ketika ditemui wakil media di lobi Mahkamah Tinggi Jalan Duta ketika menghadiri perbicaraan SRC International Sdn Bhd.

Sebelum ini, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan beliau sebenarnya telah mempunyai sokongan seramai 114 daripada 222 Ahli Parlimen Dewan Rakyat bagi menjawat jawatan perdana menteri kelapan.

Mahathir mengaku dalam keadaan tidak ‘terdaya’ berikutan tindakan YDPA enggan mengadakan pertemuan lagi dengannya sebaliknya sedang berkira-kira untuk undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat kelak.

Selain itu, Najib juga mahu peluang diberikan kepada Muhyiddin supaya beliau memberikan fokus utama menerajui negara ketika ini.

“Kita patut menghormati titah YDPA yang telah melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Baginda bertitah mengikut Perlembagaan. Lagipun, Muhyiddin juga telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan Ahad lepas.

“Saya amat pasti tanggungjawab yang kini perlu dipikul oleh beliau sangatlah berat, mencabar dan penting. Kita juga perlu bersama-sama beliau, bekerjasama dengannya Malaysia yang lebih baik.

“Ini adalah untuk negara serta demi rakyat, itu lebih penting,” tegasnya.

Semalam, Muhyiddin juga menjelaskan dirinya tidak sesekali mengidamkan jawatan perdana menteri sebaliknya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mendapat sokongan majoriti. –MalaysiaGazette

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker