Henti main politik dan fokus selesai masalah koronavirus dan ekonomi, gesa Tok Mat

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menggesa semua pihak berhenti bermain politik dan menumpukan usaha meningkatkan ekonomi negara susulan khabar angin mengenai pembentukan kerajaan baru ketika angka korban wabak koronavirus kini mencecah 902 orang di China.

Katanya, Malaysia menghadapi 2 krisis besar, iaitu tiada pelan ekonomi “kalis krisis” dan pasukan pakar ekonomi berwibawa untuk merangsang ekonomi negara.

“Kebelakangan ini Malaysia menyaksikan terlalu banyak ‘politicking’ sehingga kita seperti terlupa negara ini berdepan pelbagai cabaran yang genting. Malaysia memerlukan pelan radikal untuk menangani kemapanan ekonominya.

“Wabak koronavirus akan mendatangkan kesan ekonomi yang sangat besar di peringkat global. Ia akan menjadi katalis kepada kelembapan ekonomi dunia pada skala yang tidak pernah terjangka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, timbul khabar angin mengenai pembentukan kerajaan baru di bawah Pakatan Nasional antara PPBM, PAS dan Umno untuk menyokong kepimpinan Dr Mahathir Mohamad yang akan memusnahkan harapan Presiden PKR, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri ke-8.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, ahli Parlimennya akan membawa usul “undi percaya” bagi menyokong kepimpinan Mahathir ke persidangan Dewan Rakyat bulan depan.

Katanya, usul menyokong kepimpinan perdana menteri sehingga tamat penggal ini bertujuan menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara yang menurutnya terdapat banyak kemelut belum selesai.

Hari ini, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, Malaysia yang sebenarnya memerlukan “undi percaya” kerana pelabur asing kurang yakin terhadap kestabilan politik Malaysia dalam jangka sederhana dan panjang.

“Jika Malaysia gagal dalam menangani krisis keyakinan terhadap kemampuannya, Malaysia akan terus menjadi negara membangun yang biasa-biasa.”

Bekas menteri besar negeri sembilan itu berkata, Dasar Kemakmuran Bersama juga belum dilaksanakan dengan agenda praktikal yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, pertumbuhan ekonomi negara akan perlahan dan pelbagai sektor bakal menghadapi tekanan, khasnya pelancongan serta perkhidmatan susulan penularan wabak koronavirus yang sehingga kini menyaksikan 18 kes disahkan di Malaysia.

“Harga minyak global terus kekal rendah pada paras yang tidak seperti diunjurkan dalam Bajet 2020.

“Masalah perdagangan kita dengan India akan berterusan nampaknya. Yang pasti Pakistan tidak boleh menjadi ‘substitute’ kepada perdagangan kita dengan India.”

India mengumumkan sekatan ke atas import minyak sawit bertapis pada 8 Jan lalu yang dianggap tindakan balas terhadap kritikan Mahathir ke atas dasar negara itu.

India bergantung kepada import untuk memenuhi 70% keperluan minyak makannya dan minyak sawit dari Indonesia serta Malaysia menyumbang hampir 2/3 daripada import minyak makan tahunan India pada 15 juta tan.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker