Malaysia bebas sebarang risiko : Usah hanya ‘sedapkan’ hati rakyat.

MCA sangat bimbang dengan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengatakan bahawa Malaysia bebas daripada sebarang risiko kemelesetan ekonomi ketika dunia sedang menghadapi ancaman kecemasan global wabak novel coronavirus (2019-nCov).

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya maklum bahawa penularan wabak tersebut pastinya memberi kesan besar kepada Malaysia akibat ekonomi global terjejas.

Ini berikutan sekatan-sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang membabitkan kuasa ekonomi terbesar dunia, China.

“Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa ekonomi Malaysia semakin teruk sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, malah prestasi pasaran saham Malaysia juga diberi gelaran sebagai pasaran saham terburuk dunia pada tahun lepas.

“Sekarang, ekonomi negara kita yang sudah pun teruk ini berdepan pula dengan cabaran yang lebih besar lagi yang menjejaskan hampir kesemua industri dan sektor ekonomi negara,” katanya dalam akaun Facebook beliau.

Menurut Ka Siong, ramai penganalisis ekonomi dan pemimpin-pemimpin utama di negara lain telah memberi amaran bahawa kesan ekonomi daripada penularan wabak 2019-nCov ini akan jauh lebih besar berbanding wabak SARS yang berlaku sekitar tahun 2002 – 2003.

“Dalam laporan media baru-baru ini, Menteri Kewangan kata kerajaan mungkin akan mengitar semula pakej rangsangan ekonomi yang pada awalnya dirancang bagi tujuan berdepan perang dagang antara AS-China.

“Kami menolak pendekatan ini kerana sebab-sebab dan kesan kecemasan global jauh berbeza daripada perang perdagangan,” katanya.

Jelas beliau, Kementerian Kewangan sepatutnya memastikan apa jua bentuk rangsangan ekonomi mestilah dibuat secara khusus dan mantap bagi berdepan ancaman serta masalah ekonomi yang sedang dan bakal berlaku akibat wabak virus itu.

“Usahlah cuba menyedapkan hati rakyat Malaysia yang ketika ini sudah pun hilang keyakinan terhadap cara pengurusan ekonomi kerajaan PH (Pakatan Harapan),” tegas beliau.SM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker