Jika tidak boleh hidup dalam disiplin organisasi, elok jadi petualang di luar sahaja

Pemecatan keahlian Datuk Lokman Noor Adam dari UMNO yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) parti itu semalam, bukan perkara luar jangkaan.

Aktivis politik, Ab. Jalil Backer berkata, Ahli MT itu memang mahukan beliau dipecat berdasarkan serangan bersifat peribadi ke atas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan anggota majlis tertinggi yang lain.

Sebenarnya, kata beliau, tindak-tanduk Lokman itu lebih berat daripada kes pemecatan MT UMNO secara langsung sebelum ini.

“Pada 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Presiden UMNO dan keahlian MT setelah menentang keputusan Presiden menggugurkannya dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan berkelakuan biadab dalam mesyuarat MT.

“Pada 2015, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana berucap bertentangan dengan hala tuju kerajaan dalam kes 1MDB dan Jho Low.

“Pada tahun yang sama, MT tidak membenarkan Muhyiddin merasmikan Perhimpunan Tahunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, yang mana akhirnya beliau bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat keahlian kerana secara berterusan mengkritik pentadbiran negara dan parti,” katanya dalam tulisan yang dipetik menerusi laman sosial beliau.

Menurut Ab. Jalil, apa yang dilakukan Lokman lebih teruk dari perlakuan Anwar dan Muhyiddin, malah, sejak 2018 lagi beliau menggunakan kedudukan sebagai Ahli MT berterusan mengkritik, mencerca dan menghina kepimpinan UMNO secara terbuka di media sosial.

Selain Ahmad Zahid, katanya, antara yang menjadi mangsa serangan terbuka Lokman ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

“Akhir tahun lalu beliau sekali lagi secara terbuka mempertikaikan keputusan Presiden membabitkan aduannya ke atas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Minggu ini, beliau menyunting ucapan Ahmad Zahid sehingga menimbulkan salah faham dan kemarahan umum bahawa Presiden akan membawa UMNO meninggalkan Muafakat Nasional menyertai Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Dua hari lepas, beliau melemparkan pelbagai tuduhan kepada Presiden dan MT menggunakan media sosial. Malah, tidak segan silu menghina MT sebagai tiada telur dan keberanian,” katanya.

Beliau berkata, Lokman juga membuat tuduhan di media sosial bahawa Presiden UMNO melakukan rasuah dalam pemilihan parti tahun 2018 dan Julai 2019 pula menyerang Mohamad dan Dr. Asyraf sebagai pemimpin kotor.

“Apakah MT harus bersabar dengan pelbagai tuduhan dilontarkan oleh seorang ahli MT ke atas Presiden dan kepimpinan UMNO?

“Lokman bukan sahaja tiada rasa hormat kepada Presiden dan kepimpinan parti, beliau juga menyerang peribadi setiap pemimpin UMNO yang berlainan pendapat dengannya.

“Hari ini, apabila MT bermesyuarat, beliau dengan penuh bangga memuatnaik gambar sedang bercuti di Jepun. Bahasa media sosial hari ini ialah seolah ‘menganjing MT’,” katanya.

Soal Ab. Jalil, selama mana lagi MT harus bersabar dan membenarkan Lokman bermaharajalela merosakkan parti hanya kerana beliau orang kanan Datuk Seri Najib Tun Razak?

Katanya, Lokman dalam keadaan menjadi ‘panglima’ Najib juga telah mengambil kesempatan tersebut untuk menjadi besar diri dan besar kepala.

“Beliau menggunakan penghormatan pemimpin UMNO kepada Najib untuk mengelak dari sebarang tindakan disiplin parti.

“Hari ini, jika benar dipecat, MT telah membuat keputusan yang wajar (saya tidak kata tepat) memecat beliau. Jika tidak boleh hidup dalam disiplin organisasi eloklah menjadi petualang di luar sahaja,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker