Akur Keputusan MKT, Perpaduan Dan Penyatuan Muafakat Nasional Demi Masa Depan – Dr Masliha

Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr Masliha Harun menyeru semua pihak untuk bersama-sama memberikan sokongan kepada kepimpinan UMNO khususnya Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah menjayakan ‘branding’ Muafakat Nasional hinggakan rata-rata rakyat Malaysia mengikuti perjalanan politik tersebut.

Jelas beliau, rakyat harus berlapang dada dan membuka tangan seluas-luasnya untuk menggalakkan perpaduan ummah yang lebih besar berlaku tidak kira bangsa, agama atau kaum.

“Antara kejayaan Muafakat Nasional yang terbesar adalah perpaduan dan penyatuan orang Melayu bersama bangsa-bangsa lain. Semua pun bersatu padu dalam menentang Pakatan Harapan (PH)… itu nyata.

“Muafakat Nasional juga membantu membuatkan kempen Buy Muslim First (BMF) yang berjaya di seluruh Malaysia sehingga hari ini dan berpuluh-puluh kedai atau tauke Dap terkesan kerananya. Kempen tersebut memberi kesan kepada impak ekonomi orang Melayu yang melonjak naik secara mendadak dan mampu bersaing di pasaran tempatan… Tahniah Muafakat Nasional,” katanya dalam satu hantaran di facebook, hari ini.

Justeru tegas Dr Masliha yang juga Ketua Puteri UMNO Lembah Pantai, hari ini Muafakat Nasional dilihat satu gabungan yang cukup kuat berbanding PH, malah ada suara-suara yang mula merisik untuk menyertai Muafakat Nasional dan ‘mata-mata’ yang mula mengintai untuk melihat masa depan mereka bersama Muafakat Nasional.

“Semangat Muafakat Nasional juga berjaya memenangkan kita yang melawan PH di lima Pilihan Raya Kecil (PRK) secara berturut-turut. Ini membuktikan bahawa perpaduan, bersatu hati dan penyatuan ummah mengatasi segala-galanya.

“Namun dikala kekuatan dan pelbagai kejayaan yang telah dimiliki oleh Muafakat Nasional, rakyat masih mengharap agar janganlah kerana perebutan kuasa, ketamakan kuasa dan sikap gelojoh akan menganggu gugat perjalanan Muafakat Nasional ini… Insya-Allah tidak akan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, mengikut statistik penyatuan orang Melayu kini sudah menghampiri 90% dibawah Muafakat Nasional dimana meningkat naik dari 70% semasa PRU-14.

Dalam pada itu Dr Masliha akur dengan segala keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) yang akan bermesyuarat pada 7 Februari ini.

“Kita berserah kepada keputusan Mesyuarat Presiden pada 7 Februari ini. Semoga ada sinar yang lebih baik buat masa hadapan Muafakat Nasional ini.

“Saya akan akur dan menghormati segala keputusan pucuk pimpinan yang berpengalaman dan bijaksana kerana saya teramat percaya akan organisasi ini dan yakin bahawa UMNO adalah sebuah perjuangan,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker