Zuraida mohon cuti daripada tugas naib presiden PKR

Zuraida Kamaruddin menyerahkan permohonan bercuti daripada menjalankan tugas naib presiden PKR sehingga siasatan Lembaga Disiplin terhadapnya selesai.

Setiausaha politiknya, Nor Hizwan Ahmad mengesahkan permohonan itu dihantar 2 hari lalu.

“Surat permohonan telah dihantar kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR.

“Sama ada diterima atau tidak belum dimaklumkan lagi,” katanya pada sidang media khas bersama beberapa pemimpin dan ahli PKR Bahagian Ampang hari ini.

Nor Hizwan Ahmad bersama beberapa pemimpin dan ahli PKR Bahagian Ampang mengadakan sidang media khas di Ampang hari ini.
Pada 29 Jan lalu, Zuraida menghantar jawapan kepada surat tunjuk sebab bertarikh 15 Jan.

Lembaga Disiplin PKR dilapor memulakan siasatan ke atas pelbagai aduan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin parti itu, termasuk Zuraida yang dipercayai berkait insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR di Melaka 2 bulan lalu.

Zuraida sebelum ini didakwa menghina ahli parti itu dan mendedahkan butiran perbualannya dengan Anwar ketika berucap dalam satu majlis makan malam pada 8 Dis lalu.

Beliau mendakwa Anwar cuba meyakinkannya salah seorang lelaki dalam video seks sejenis yang tersebar Jun tahun lalu ialah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Ketua Wanita Pakatan Harapan itu turut mendakwa penilaian Anwar dilihat terjejas akibat pengaruh “budak pampers” dan “gengster” dalam parti yang merujuk Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil serta Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker