PAS anggap PKR, Amanah macam ‘anjing dengan bayang-bayang.

PAS menganggap kenyataan dibuat pemimpin PKR dan Amanah mengenai parti itu akhir-akhir ini seumpama “anjing” yang “takutkan bayang-bayang”.

Justeru, kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, partinya mengambil sikap untuk membiarkan PH – yang dianggotai PKR serta Amanah – “terjun dengan labu-labunya”.

Bidalan digunakan Takiyuddin itu merujuk kepada diua kisah dongeng rakyat yang popular, Anjing Dengan Bayang-Bayang serta Si Luncai.

“Selama ini PAS tidak pernah terfikir – apatah lagi memohon – untuk menyertai PH, sebaliknya akan mengukuhkan lagi kerjasama politik dengan Umno/BN melalui Muafakat Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Oleh itu, kenyataan penuh bimbang pimpinan PKR dan juga Amanah terhadap PAS akhir-akhir ini adalah ibarat anjing takut bayang-bayang, dan kami menyatakan: Biarkan PH terjun dengan labu-labunya, biarkan biarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beredar sekeping gambar menunjukkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, bersama Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pertemuan itu turut dihadiri isteri Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, serta seorang tokoh yang dekat dengan perdana menteri, Khairuddin Abu Hassan.

Semak dan imbang

Untuk rekod Ahmad Samsuri ialah bekas setiausaha politik Abdul Hadi dan kini menjadi naib presiden PAS.

Beberapa hari lalu Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, berkata parti itu menolak sebarang gerakan atau cadangan membawa masuk PAS menyertai PH.

Pada 20 Jan lalu media melaporkan Salahuddin sebagai berkata, tiada keperluan untuk “menyerap” PAS ke Putrajaya atas alasan menarik sokongan kepada kerajaan.

“Bagi AMANAH, kita tetap dengan keputusan sebelum ini. Apa yang ada ketika ini adalah PH. Sekarang kita selesa dengan PH, itu persetujuan dan kerjasama yang kita janjikan,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pula berkata PH sudah utuh dan tidak memerlukan parti seperti PAS sebagai rakan sekutu.

Katanya, PH ditubuhkan atas prinsip kepercayaan dan hormat menghormati, justeru sebarang usaha membawa masuk parti lain seperti PAS mesti berasaskan konsensus.

“Saya tengok buat masa sekarang, cubaan memasukkan PAS itu kekal sebagai satu khabar politik biasa dan saya tidak nampak sebab serta alasan untuk PH sekarang ini menerima anggota baru,” katanya.

Takiyuddin berkata kenyataan dibuat Saifuddin itu bersifat penuh kebimbangan dan menggambarkan keadaannya yang tertekan.

“Kenyataan beliau yang juga dipetik sebagai berkata PH tidak perlukan PAS sebagai rakan sekutu menunjukkan kedudukan PH yang tidak stabil dan dalam keadaan berkrisis sesama komponennya,” kata beliau.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga menambah, PAS akan terus bersama Umno dan BN untuk menjadi pembangkang yang konstruktif untuk berperanan sebagai unsur semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Lebih-lebih lagi berikutan pertambahan anggota blok pembangkang dengan kemenangan calon BN di pilihan raya kecil parlimen Kimanis, Mohamad Alamin,” katanya.

Untuk rekod, kerusi Kimanis asalnya dimenangi oleh Anifah Aman, seorang pemimpin kanan Umno yang kemudian meninggalkan parti itu untuk menjadi ahli parlimen bebas selepas PH berjaya membentuk kerajaan pusat dan Sabah.

Dalam PRK lalu Anifah turut berkempen untuk memenangkan BN.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker