Curang Janji Sendiri: PH Mesti Dihukum, Khianati Kepercayaan Rakyat – Hishammuddin
Kecurangan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji mereka sendiri mesti dihukum, bidas Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Gesanya, rakyat jangan lagi memberi muka kepada PH bukan sahaja dalam mana-mana siri Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas ini, tetapi juga di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.
“Sebenarnya, retorik PH untuk hapuskan tol bukan baru.
“Berpuluh kenyataan, berejam gulingan di jalanan, beribu sepanduk dan beratus ceramah telah dibuat, kononnya memperjuangkan penghapusan tol,” tegasnya dalam satu catatan di Facebook.
Tambah Hishammuddin antara kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka dahulu adalah seperti berikut:
1. 6 Januari 2009: Tony Pua tulis panjang lebar di blognya, berangan tol boleh dihapuskan sekelip mata.
2. 14 Januari 2012: Lim Guan Eng dalam satu sidang media, menyatakan Pakatan Rakyat akan hapuskan tol selepas ambil alih kerajaan.
3. 20 Mac 2013: Pakar PKR, Rafizi Ramli siap buat sesi soal jawab dengan rakyat untuk buktikan betapa mudahnya beri tol percuma.
4. 16 Januari 2017: Lim Guan Eng lagi, sampai tegang urat leher berceramah dalam satu majlis di Pulau Pinang, berjanji akan hapuskan tol jika PH menang PRU-14.
5. 25 Oktober 2017: Isteri bakal Perdana Menteri Kelapan PH Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menerusi pembentangkan Belanjawaan Alternatif PH 2018, berjanji akan hapuskan tol di seluruh negara. Rujuk point ke-19 ucapan beliau.
6. 9 Mac 2018: Dalam satu majlis gilang gemilang, PH senaraikan penghapusan tol sebagai salah satu janji utama dalam Manifesto PRU-14 PH.
Walaupun begitu selar Hishammuddin, secara tiba-tiba pada 16 Januari lalu PH memutuskan untuk tidak menghapuskan tol tetapi hanya memberi diskaun 18% malah, rakyat juga dipaksa membayar tol sehingga tahun 2058.
Justeru katanya itu bukan disebabkan salah rakyat yang telah mengundi PH semasa PRU-14.
“Tetapi saya salahkan PH yang amat tidak bertanggungjawab, menyuap madu beracun kepada rakyat semata-mata untuk berkuasa.
“Akhirnya, yang jadi mangsa penipuan PH, rakyat jua,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE
You must be logged in to post a comment.