Apa manfaat diskaun tol 18% kepada Sabah, Sarawak dan pantai timur, soal Najib
Najib Razak mempertikaikan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengkritik tindakan Barisan Nasional (BN) membayar dividen 0.5% kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi PLUS Malaysia.
Najib berkata, Lim seharusnya bertanya kepada pencarum KWSP yang jarang dan tidak menggunakan tol PLUS serta apakah manfaat yang mereka perolehi dari keputusan Putrajaya mengurangkan 18% kadar tol itu.
“Dia (Lim) kata ia lebih baik untuk beri diskaun 18% tetapi kena bayar tol 20 tahun lagi, berbanding menaikkan dividen KWSP sebanyak 0.5% setiap tahun dengan tidak lagi membayar pampasan tahunan, setelah melanjutkan tempoh tol 20 tahun lagi hingga 2058.
“Lim perlu tanya pencarum KWSP yang jarang atau tidak menggunakan tol PLUS, mereka di pantai timur serta mereka di Sabah dan Sarawak, apakah manfaat yang mereka terima dari diskaun 18% untuk tol PLUS, setelah dividen tahunan KWSP kurang 0.5% setiap tahun,” katanya di Facebook, hari ini.
Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pengurangan kadar tol sebanyak 18% bagi pengguna kenderaan persendirian di semua lebuh raya milik PLUS bermula seawal 1 Februari ini.
Lebuh raya yang dikendalikan PLUS Malaysia termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE, Elite, Linkedua, LPT2, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Butterworth-Kulim, dan Jambatan Pulau Pinang.
Pejabat Perdana Menteri berkata, susulan keputusan itu tempoh konsesi untuk semua lebuh raya PLUS dilanjutkan 20 tahun dari 2038 kepada 2058.
Khazanah memegang 51% kepentingan dalam PLUS, sementara KWSP memegang 49%.
Susulan keputusan Pejabat Perdana Menteri itu, Najib dan Lim dilihat bertelingkah berhubung perkara berkenaan.
Menurut Lim, pampasan tahunan yang dibayar PLUS kepada KWSP hanyalah bernilai 0.5% dan adalah lebih baik untuk memberi diskaun tol sebanyak 18%.
Lim sebelum ini berkata, tidak ada pampasan yang akan dibayar Putrajaya kepada PLUS, susulan lanjutan konsesi tol dan pengurangan kadar tol 18%, berbeza dengan kaedah diguna BN yang membayar pampasan kepada pengendali lebuh raya jika tidak ada kenaikkan tol.
FMT
You must be logged in to post a comment.