#PrkKimanis : Jadikan PRK Kimanis Satu Lagi Referendum Rakyat, Nyatakan Tak Puas Hati – Annuar

Tan Sri Annuar Musa

Pengarah Operasi Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Tan Sri Annuar Musa berkata, PRK Kimanis adalah satu lagi referendum untuk rakyat menyatakan ketidakpuasan hati kepada kerajaan.

Jelas beliau, rakyat khususnya pengundi di Kimanis harus memberikan isyarat yang betul kepada kerajaan agar ia mampu menjadi semak dan imbang dalam pentadbiran.

“PRK adalah satu referendum dan PRU adalah soal siapa mahu membentuk kerajaan. Jika ada isu yang rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan maka rakyat akan menggunakan referendum untuk tolak kerajaan dan PRK Kimanis adalah satu lagi referendum untuk rakyat.

“Selain tidak berpuas hati dengan isu nasional, isu tempatan juga banyak yang dipersoalkan. Rakyat Sabah mempersoalkan isu kenaikan harga barang, rakyat Sabah tidak senang hati dengan bantuan kerajaan yang sangat berkurangan, rakyat Sabah tidak suka dengan pendatang asing yang terlalu ramai dan rakyat tidak suka bila kerajaan negeri memberikan pas sementara. Rakyat sini juga tidak suka dengan soal kerakyatan yang diberikan kepada bukan orang asal di sini.

“Ini antara perkara yang rakyat tidak suka maka dengan ini rakyat akan tunjukkan rasa tidak suka ini dengan menolak parti kerajaan dan dalam kes ini parti Warisan. Inilah peluang kepada rakyat dan sekiranya rakyat membodek kerajaan, tidak suka pun tapi masih undi kerajaan maka kita tidak memberi signal yang betul kepada sebuah kerajaan yang perlu ditegur dan memerlukan semak dan imbang,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Bercakap soal autonomi yang diberikan kepada UMNO Sabah ujar Annuar, PRK Kimanis adalah satu peluang terbaik untuk UMNO Sabah menguji tahap kesiapsagaan mereka dalam menyusun semula UMNO di negeri ini setelah ramai pemimpin yang melompat parti selepas BN tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Kini, pemimpin-pemimpin baru ambil alih kepimpinan UMNO Sabah. Maka, PRK ini akan mempercepatkan proses kematangan dan menjadi medan terbaik bagi pemimpin baru diasuh cara-cara menguruskan pilihan raya dan mengendalikan organisasi selain menghimpunkan tenaga kerja bahagian masing-masing.

“Sudah dua minggu saya berada di sini bagi memantau dan membantu dan saya dapat melihat cara mereka menguruskan kerja, ia amat membanggakan. Saya agak terkejut dengan komitmen dan gerak kerja yang telah diatur.

“Dalam tempoh yang singkat, mereka dapat membuat persediaan dengan baik,” ujar beliau.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU-14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Parlimen P176 Kimanis diadakan pada 18 Januari 2020. Penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 Januari. – UMNO ONLINE

#PrkKimanis : Ubah Balik Jadi Tekad Rakyat Sabah Setelah Tertipu Janji PH PRU-14

 

#PrkKimanis : Apakah SPR Akan Diamkan Diri Terhadap Rasuah Politik Di PRK Kimanis?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker