Pelakon, pengarah mengaku salah miliki dadah

Pelakon, pengarah mengaku salah miliki
dadah

Pelakon drama dan filem, Muhamad Niezam Mohd Zaidi dan dua yang lain hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memiliki dadah.

Niezam, 29, bersama pengarah, Mohd Latif Zami, 49, dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 43, mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis kanabis serta methamphetamine.

Ketiga-tiganya mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Niezam dan Latif didakwa masing-masing memiliki 1.15g serta 0.3g dadah jenis kanabis di sebuah rumah di No 835, Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, di sini pada 7.15 pagi 10 Okt lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Saiful pula didakwa memiliki 0.38g dadah berbahaya jenis methamphetamine pada tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi menawarkan jaminan RM6,000 bagi Niezam dan Latif, manakala RM8,000 bagi tertuduh ketiga.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Shafini Mior Shahrin yang mewakili semua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya baru memulakan penggambaran pertama sejak perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mahkamah membenarkan Niezam dan Latif masing-masing diikat jamin RM3,000 dan RM2,600, manakala RM3,200 bagi Saiful berserta seorang penjamin.

Majistret kemudian menetapkan 1 Dis ini untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia.

Terdahulu, semua tertuduh tiba di bangunan mahkamah kira-kira 12 tengah hari dengan pakaian lokap polis berwarna ungu.

Mengikut kenyataan polis sebelum ini, mereka ditahan di set lokasi penggambaran di sebuah rumah inap desa di taman tersebut.

Niezam sebelum ini terkenal dengan lakonan di dalam filem “Budak Pailang” dan “Highland Tower”, selain drama seperti “Diari Platun”, “Dewi Lasak” dan “Mencintaimu”. FMT

Pelakon, pengarah mengaku salah miliki dadah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pertama kali dapat soalan kahwin lain dalam dewan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker